Belia, graduan perlu kuasai kemahiran abad ke-21

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Persidangan maya terbesar bidang pendidik kebolehpasaran belia untuk meningkatkan kesedaran menguasai kemahiran abad ke-21 (21st century skills) yang terbesar pernah diadakan di Malaysia pada Sabtu menerima jumlah penyertaan melebihi 12,000.

Persidangan Minda Untuk Malaysia : Merapatkan Jurang Kemahiran (Minds For Malaysia (M4M): Bridging The Skills Gap) M4M dirasmikan secara maya oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad manakala Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu berucap pada sesi penutup persidangan.

Pengerusi Minds for Malaysia (M4M), Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, penguasaan kemahiran ini amat penting untuk kebolehpasaran mereka dalam menjamin peluang pekerjaan dan membina perniagaan melalui ‘start-up’ demi masa depan lebih baik.

Menurutnya, program bertujuan meningkatkan kesedaran dan mendidik para pelajar, graduan dan belia mengenai kepentingan inovasi digital terutama dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia.

“Usaha M4M berkolaborasi dengan pelbagai pihak sama ada kerajaan dan swasta dalam program ini adalah seiring usaha membantu mendidik kepentingan inovasi digital dan keusahawanan dalam kalangan pelajar dan belia di seluruh negara, tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Adalah diharapkan melalui penganjuran program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutama golongan pelajar, graduan dan belia dalam berhadapan cabaran keperluan menguasai kemahiran baharu serta kebolehpasaran mereka dalam menjamin peluang pekerjaan apabila menamatkan pengajian kelak,” katanya.

Menurut Jaziri Alkaf, persidangan dalam talian ini turut melibatkan ahli panel terhormat tempatan dan
antarabangsa.

Mereka terdiri daripada pakar industri, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan yang berkongsi pengalaman serta nasihat mengenai kemahiran insaniah yang sangat diperlukan bagi menjamin peluang pekerjaan apabila menamatkan pengajian.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz turut berkolaborasi dalam persidangan apabila bersetuju berkongsi pengalaman dan pandangan dalam wawancara khas yang disiarkan secara maya pada hari tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi ucaptama selain Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor sebagai antara usaha mendidik golongan belia terutamanya mengenai kepentingan menguasai inovasi digital dalam bidang keusahawanan sebagai usaha memperkasakan golongan tersebut.

M4M dengan jayanya dianjurkan oleh Yayasan MyProdigy Malaysia dengan kerjasama Thriving Talents dan NGO Kita Anak Malaysia.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *