Perkasa program pembangunan paralimpik sebelum bina sekolah sukan khas

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Program pembangunan paralimpik sedia ada perlu diperkasa bagi mewujudkan ekosistem sukan itu yang lebih teratur dan tersusun sebelum mengambil langkah lebih jauh untuk membina Sekolah Sukan Khas, Dewan Negara diberitahu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ketika ini, Majlis Sukan Negara (MSN) memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pembangunan di peringkat negeri bagi memastikan kesinambungan atlet dan pengembangan penglibatan atlet orang kurang upaya (OKU) dilaksanakan.

Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penubuhan pusat latihan, pelaksanaan kejohanan serta sirkit kebangsaan dan kem bakat/klinik sukan.

“Pihak kementerian melalui MSN sentiasa berusaha untuk memperkasa program latihan yang melibatkan atlet OKU di seluruh negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Ahmad Faizal juga berkata usaha memperkasa program pembangunan paralimpik di peringkat negeri dilakukan dengan kerjasama pemegang taruh antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Sukan Kebangsaan, Bahagian Pendidikan Khas dan Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya.

Penubuhan sekolah sukan OKU pertama di Malaysia bagi melahirkan lebih ramai atlet paralimpik dicadangkan oleh Senator Datuk Ras Adiba Radzi pada sesi perbahasan usul itu.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *