KUALA LUMPUR, 12 Okt — Akses ke persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan lestari merupakan hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan dipromosikan, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata Malaysia mengiktiraf pendirian ini melalui penajaan resolusi di Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Oktober 2021 di Geneva.
Resolusi ini adalah julung kalinya bagi MHAM dalam mewujudkan kaitan secara jelas dan langsung antara persekitaran yang bersih, sihat dan lestari dengan hak asasi manusia.
Malaysia turut menaja satu lagi resolusi MHAM yang mewujudkan jawatan Pelapor Khusus (Special Rapporteur) dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia secara global dalam konteks perubahan iklim.
“Malaysia menyambut baik Resolusi ini yang mengetengahkan implikasi ke atas hak asasi manusia disebabkan kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim yang dihadapi individu dan masyarakat di seluruh dunia, terutamanya bagi golongan rentan seperti orang asal, warga emas, orang kurang upaya dan wanita,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.
Beliau berkata dengan menyokong Resolusi itu, Malaysia menyedari bahawa kemerosotan alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan tidak mampan merupakan antara ancaman paling mendesak dan serius terhadap kemampuan generasi sekarang dan masa depan untuk menikmati hak asasi manusia, termasuk hak untuk hidup, serta hak ke atas kesihatan, pembangunan, perumahan, air dan makanan.
“Seperti yang digesa di dalam Resolusi itu, Malaysia berhasrat untuk memainkan peranannya dalam melaksanakan hak asasi yang baharu diperakui tersebut. Ini termasuklah melalui pembangunan kapasiti dalam usaha melindungi alam sekitar dan memperkenalkan dasar yang bersesuaian bagi mempertahankan biodiversiti dan ekosistem, selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030,” katanya.
Katanya, bagi mencapai tujuan ini, Malaysia bertekad bekerjasama dengan negara-negara lain, organisasi antarabangsa dan serantau, masyarakat sivil, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), para akademik dan sektor korporat ke arah mencapai masa depan lebih terjamin bagi generasi akan datang.
Saifuddin berkata keutamaan yang diberikan Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim merupakan sebahagian janji negara bagi pencalonannya ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk penggal 2022-2024, pada pemilihan yang akan diadakan di New York pada 14 Oktober 2021.
Ia juga sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (2021- 2025), seperti dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, ke arah pertumbuhan yang makmur, inklusif dan mampan bagi semua.