MARDI lancar empat produk R&D

SERDANG, 12 Okt — Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan empat produk inovasi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) saintis agensi berkenaan yang sedia untuk dikomersialkan.

Inovasi tersebut terdiri daripada produk minuman berasaskan terung asam kaya dengan asid hidroksisinamik, produk krim anti radang (CleoSafe) berasaskan sayuran maman, air kelapa muda berkarbonat dan ais krim kelapa kurang kalori.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kemajuan sektor agromakanan akan dipacu oleh strategi permodenan melalui penggunaan teknologi mekanisasi dan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

“Inovasi memainkan peranan penting dalam menangani cabaran sekuriti makanan, ia menentukan pemacu perubahan bagi menyelesaikan masalah semasa, malah berpotensi membuka ruang dan peluang baharu yang dapat dimanfaatkan oleh industri agromakanan dan menyumbang perkembangan sektor ekonomi negara.

“Penting bagi sesebuah inovasi untuk menyumbang kepada pencapaian yang dapat diukur oleh indikator dalam negara dan antarabangsa seperti Tahap Sara Diri (SSL), Nisbah Kebergantungan Import (IDR), Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs),” katanya

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan perasmian sempena Hari Inovasi MARDI (HIM) 2021 di Ibu Pejabat MARDI, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI, Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Terdahulu, produk minuman berasaskan tepung asam kaya dengan asid hidrosisinamik adalah produk pengurusan berat badan antiobesiti, yang dihasilkan bagi meningkatkan rasa kenyang, mengurangkan pengambilan makanan dan juga meningkatkan kadar metabolisme badan.

Produk krim antiradang (CleoSafe) berasaskan sayuran maman, diformulasi daripada ekstrak sayuran maman dan gabungan minyak kelapa dara, CleoSafe merupakan produk anti radang alternatif kepada krim antiradang komersial yang terdapat di pasaran kerana ia kaya dengan fitokimia daripada sumber semulajadi.

Sementara itu, inovasi air kelapa muda merupakan minuman yang ditambah nilai rawatan pempasteuran dan mempunyai jangka hayat selama empat hingga lapan minggu, lebih panjang daripada air kelapa segar.

Aiskrim kelapa kurang kalori sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti dan aras kolesterol tinggi serta penyakit berkaitan kerana ia dihasilkan menggunakan isi kelapa muda varieti pandan.

Teknologi aiskrim kelapa kurang kalori dihasilkan oleh Nor Zalina Mad Saad, teknologi terung asam (Dr. Zuraidah Ab. Rahman), teknologi Cleosafe (Dr. Sanimah Simoh) dan teknologi air kelapa berkarbonat oleh Nur Farah Hani Muhamad.

HIM 2021 kali ini menyaksikan sebanyak lapan kategori Anugerah Inovasi MARDI (AIM) dipertandingkan dengan 112 penyertaan daripada pusat penyelidikan dan pemindahan teknologi manakala sebanyak 151 penyertaan diterima untuk dipertandingkan dalam Pameran Sains dan Teknologi MARDI (MSTE).

Sebanyak 119 penyertaan diterima bagi kategori Pengetahuan dan 32 penyertaan kategori inovasi. Selain itu, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Pertandingan Inovasi Akar Umbi MARDI (AUM) masing-masing telah menerima sebanyak tujuh dan 18 penyertaan berkumpulan bagi merebut anugerah dan hadiah ditawarkan.

HIM 2021 yang berlangsung bermula hari ini hingga 14 Oktober memilih tema Kejayaan Inovasi: Mendepani Cabaran Bersama

Menurut Ronald lagi, MARDI akan mengadakan kerjasama dengan syarikat yang berminat untuk mengkomersialkan inovasi berkenaan supaya dapat sampai ke pasaran dan dimanfaatkan oleh pengguna.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *