Kepemimpinan BERSATU ziarah Abdul Hadi di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Okt — Kepemimpinan tertinggi BERSATU hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini.

Pertemuan bagi tujuan ziarah itu disertai Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di samping Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Perjumpaan itu diadakan selepas Abdul Hadi selesai menyampaikan kuliah duha secara dalam talian pada pukul 10 pagi.

Perkara itu dikongsikan Hamzah dalam hantaran di laman Facebook miliknya.

Hamzah berkata, keadaan Abdul Hadi bertambah sihat, malah Ahli Parlimen Marang itu juga nampak begitu bersemangat.

“Cantik jawapan beliau apabila ditanya sihat ke Tok Guru? Mana boleh tak sihat, kitakan nak berjuang. Alhamdulillah, begitu bersemangat Tok Guru, beliau juga nampak sihat,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *