Kerajaan mahu industri kenaf diperkembang, hasilkan lebih banyak produk akhir

PADANG BESAR, 16 Okt — Kerajaan mahu industri kenaf dikembangkan dan menghasilkan lebih banyak produk akhir bagi meningkatkan jumlah eksport negara berasaskan komoditi tersebut.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pada masa ini nilai eksport kenaf negara adalah sebanyak RM10 juta dan jumlah itu dapat ditingkatkan jika pengusaha kenaf berupaya menghasilkan lebih banyak produk hiliran selain fiber.

“Di seluruh negara terdapat kira-kira 2,000 hektar ladang kenaf termasuk yang diusahakan oleh pengusaha kecil dan penghasilan produk industri hiliran (produk akhir) masih kecil, selain pengeluaran hasil kenaf (fiber) itu sendiri juga masih rendah untuk kegunaan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang kenaf seluas 200 hektar di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) dekat sini, hari ini.

Justeru, Zuraida berkata, kerajaan sangat mengalu-alukan orang ramai untuk menceburi bidang penanaman kenaf kerana ia mudah diusahakan dan hanya mengambil tempoh empat bulan untuk dituai.

“Sesiapa yang mempunyai sekurang-kurangnya satu hektar tanah, sudah layak untuk memohon bantuan untuk tanaman kenaf daripada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN),” katanya.

Menurutnya, faktor cuaca serta tanah di wilayah utara sangat sesuai untuk penanaman kenaf dan disebabkan itu ladang yang terletak di CVIA dan beberapa kawasan di Kedah utara memfokuskan kepada penghasilan benih kenaf sahaja.

“Tapi sekiranya ladang kenaf dapat diperluaskan dengan penglibatan lebih ramai pengusaha kenaf secara kecil-kecilan, mungkin boleh difikirkan untuk menghasilkan lebih banyak produk akhir sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk dan negara,” katanya.

Zuraida berkata, kerajaan negeri juga disarankan agar meningkatkan tempoh pajakan tanah untuk perusahaan tanaman kenaf supaya pengusaha ladang seperti di CVIA boleh membuat perancangan jangka masa panjang dalam mempelbagaikan produk mereka.

Menurutnya, kementeriannya melalui LKTN akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan industri kenaf dipertingkat dan ditambah baik.

“Ini penting agar industri ini terus berdaya saing dan mampan di samping menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Pembangunan pelbagai industri hiliran kenaf termasuklah penghasilan sistem binaan berindustri (IBS), pulpa untuk pembungkusan mesra alam, biokomposit dan makanan ternakan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *