Rundingan kerusi PN muktamad minggu ini

MELAKA, 19 Okt — Rundingan kerusi bagi parti komponen Perikatan Nasional (PN) Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dimuktamadkan minggu ini.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata setakat ini perbincangan antara BERSATU dengan PAS dan GERAKAN berjalan lancar dengan ketiga-tiga parti saling memberikan kerjasama padu dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Bagaimanapun katanya, setakat ini rundingan itu tidak membabitkan UMNO yang dilaporkan masih belum memuktamadkan sama ada ingin bekerjasama dengan PN atau sebaliknya.

“Kami BERSATU bincang dengan PAS dan GERAKAN Melaka dengan baik dan kami saling hormat-menghormati sesama kami kerana masing-masing ada pengalaman menempuh pilihan raya umum dan kecil.

“Insya-Allah rundingan akan selesai minggu ini dan keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi boleh dicapai,” katanya ketika ditemui pada program Gerai Prihatin Rakyat anjuran PN di Taman Tangga Batu Perdana, Tanjung Kling dekat sini hari ini.

Pada program itu anggota komuniti hanya perlu membayar RM15 untuk diberikan seekor ayam, sepapan telur, sebungkus bahan minuman dan sebungkus ubi kentang seberat lima kilogram.

Mohd Rafiq bagaimanapun enggan menjelaskan jangkaan kerusi yang bakal ditandingi ketiga-tiga parti terbabit.

“Maaf, kami belum boleh nyatakan berapa kerusi sekurang-kurangnya kami akan dapat untuk ditandingi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Melaka diadakan pada 20 November ini dan penamaan calon pada 8 November ini.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *