MELAKA, 21 Okt — Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa menziarahi ahli keluarga anggota Bomba yang terkorban semasa operasi menyelamat mangsa banjir, awal pagi ini.
Difahamkan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sedang dalam lawatan kerja di Melaka.
Turut hadir dalam lawatan itu, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka Datuk Hishamuddin Abdul Karim.
Awal pagi ini, seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas selepas rebah ke dalam air banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh petang semalam, meninggal dunia.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata mangsa, Mohd Diya Che Jusoh, 46, meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi tadi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka di sini.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong pada 10 pagi hari ini.
“Warga JBPM Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita atas insiden tersebut,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, mangsa dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.
Mangsa dipercayai rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras separas dada orang dewasa, namun disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa ke tempat selamat.