MELAKA, 21 Okt — “Saya kata kita tidak boleh tunggu lama-lama, kita harus buat keputusan. Saya kira jika pihak di sana (UMNO) setakat hari ini tidak menunjukkan apa-apa petanda sama ada mereka bersedia untuk bekerjasama, berunding ataupun berbincang.”
Itu penegasan yang dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung teka-teki status kerjasama gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sikap UMNO yang masih belum memberikan sebarang kata putus menyebabkan urusan pembahagian kerusi dalam kalangan komponen terganggu.
“Justeru, saya kata hari ini kita buat keputusan, kita akan bertanding tiga penjuru. Ini ketegasan kita kerana kita mesti buat keputusan begitu dalam usaha hendak mengatur strategi menghadapi PRN.
“Kenapa kita masih belum buat sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi dalam PN? Sebab kita nak menunggu. Sampai bila kita nak menunggu dalam kita menunggu nanti dia (UMNO) sudah buat persiapan.
“Saya cukup berpengalaman dalam menghadapi pilihan raya kalau kita tetap menunggu sudah tentu usaha dan gerak kerja kita akan terhalang, ahli akar umbi akan jadi tidak tentu arah” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari PN di Ayer Keroh hari ini.
Turut hadir Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, beliau sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO atas dasar penyatuan ummah, tetapi agak menghampakan kerana tempoh masa terlalu lama diambil tanpa sebarang keputusan.
Sehubungan itu, jelasnya, BERSATU, PAS dan Gerakan telah bersetuju dan bersedia untuk menghadapi saingan dua atau tiga penjuru.
Tambahnya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memberikan persetujuan pada pertemuan baru-baru ini, diketuai Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk parti itu bergerak bersama PN menghadapi PRN, 20 November ini.
“Kalaulah di Melaka adalah tempat, gelanggang dan lapangan, kita (BERSATU, PAS dan Gerakan) akan bertanding atas tiket PN dan menggunakan simbol PN,” ujarnya.