Kerjasama kerajaan buka semula ekonomi dapat penghargaan UK

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Kerjasama kerajaan Malaysia untuk membuka semula ekonomi mendapat penghargaan daripada kerajaan United Kingdom (UK).

Perkara itu dikongsikan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Facebook beliau pada Jumaat mengenai pertemuannya dengan Setiausaha Negara Perdagangan Antarabangsa dan Presiden Lembaga Perdagangan UK, Anne-Marie Trevelyan.

“Dalam pertemuan itu, kami mengkaji semula strategi yang diguna pakai oleh Malaysia dan UK untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi dalam menuju fasa endemik.

“Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama kerajaan Malaysia untuk membuka semula ekonomi kerana sektor automatif mereka terjejas akibat pandemik (Covid-19) dan menyatakan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global adalah amat penting,” katanya yang memuat naik gambar pertemuan terbabit.

Mohamed Azmin berkata, beliau turut berkongsi mengenai komitmen Malaysia dalam menerajui agenda teknologi hijau.

“Kedua-dua kerajaan diharap dapat terus memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan demi kepentingan bersama.

“Pertemuan ringkas ini berakhir dengan perbincangan tentang ’12th Ministerial Conference’ yang akan datang dan kami berdua berharap untuk mendapatkan hasil yang bermakna daripada perjumpaan kelak,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *