myKendiri dilancar untuk galakkan pusat jagaan berdaftar dengan kerajaan

KUCHING, 23 Okt — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil pendekatan memudahkan lagi Sistem Penilaian Kendiri Pengendali Pusat Jagaan (myKendiri) bagi menggalakkan lebih banyak lagi pusat jagaan mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata walaupun sudah terdapat lebih 1,000 pusat jagaan sudah mendaftar dengan JKM di seluruh negara setakat ini namun masih banyak lagi pusat jagaan lain tidak berbuat demikian dan beroperasi tanpa standard yang ditetapkan kerajaan.

“(myKendiri) inilah garis panduan yang kita tetapkan supaya pusat jagaan ini bukan hanya (berbentuk) sementara atau menjadi tempat pihak-pihak tertentu yang mungkin ingin mengaut keuntungan ….tapi ia untuk dijadikan Pusat Jagaan dan memikirkan (kebajikan) penghuninya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan myKendiri dalam satu majlis di Pusat Penjagaan Persatuan Autisme Kuching di sini yang turut dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurut Rina, myKendiri ini merupakan sistem dalam talian berasaskan web bagi menggantikan sistem sebelum ini yang memerlukan pengisian maklumat secara manual.

“(Sistem) sebelum ini (melibatkan) banyak soalan dengan lapan domain dan 80 soalan, kini dapat dikurangkan kepada empat domain dan 35 soalan (menerusi myKendiri),” tambahnya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *