BATU PAHAT, 24 Okt — Kerajaan Johor merancang melakukan kerjasama dengan semua pengusaha stesen minyak di negeri ini termasuk yang berada di lebuh raya, dalam usaha membantu memperkenal dan memasarkan produk usahawan tempatan negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata bagi fasa pertama pelaksanaan, ia akan melibatkan 17 stesen minyak Petronas, penghujung bulan ini.
Beliau berkata bagi fasa-fasa seterusnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan semua stesen minyak yang lain untuk memasarkan produk usahawan-usahawan terlibat yang akan diterajui oleh Perbadanan Usahawan Johor Bhd (PUJB).
“Pengguna lebuh raya akan melihat adanya produk-produk tempatan seperti makanan ringan, hasil kraftangan johor dan lain-lain, apabila mereka berhenti di stesen minyak berkenaan.
“Kita merancang melaksanakan program ini kerana kebanyakan stesen minyak merupakan pintu utama untuk ke negeri ini. Ini adalah projek kerajaan negeri untuk bantu para usahawan,” katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di daerah ini, hari ini.
Ketika diminta mengulas berkaitan aktiviti koperasi di negeri itu, pihaknya berbangga kerana mempunyai 50 koperasi terbaik dalam kalangan koperasi yang ditubuhkan di negara ini.
Dalam masa yang sama, beliau berkata terdapat 23 koperasi di negeri ini telah terpilih menerima dana sebanyak RM15,000 sebagai subsidi jualan ke atas barang keperluan dan makanan melalui Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di bawah inisiatif PEMULIH.
“Salah satu koperasi berkenaan adalah Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang yang menjalankan aktiviti pemborongan dan peruncitan juga menjual barangan keperluan masyarakat.
“Koperasi ini unik, ia apabila kita mendengar koperasi sekolah perkara biasa kita fikir adalah menjual buku serta peralatan sekolah, namun ia berbeza dengan koperasi SMK Senggarang turut mengorak satu langkah sehingga mampu memperoleh pendapatan mencecah hampir RM1 juta setahun,” katanya.