Kementerian Pendidikan segerakan baik pulih sekolah di Sarawak

KUALA LUMPUR, 25 Okt — Beberapa kemudahan dan infrastruktur yang uzur di beberapa sekolah di Sri Aman dan Lubok Antu, Sarawak akan segera dibaik pulih bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik untuk guru dan pelajar.

Itu antara jaminan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang melakukan lawatan kerja ke lima sekolah di Sri Aman dan Lubok Antu, bagi meninjau keadaan infrastruktur serta pengoperasian sekolah di kawasan berkenaan.

Ia adalah sebahagian daripada pemantauan dan libat urus pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan di Sarawak, yang bermula pada Ahad.

Di Sri Aman, Radzi melawat dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jaong dan SK Aping, selain tiga sekolah di Lubok Antu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili, SK San Semanju dan SK Ridan.

Beliau berkata, SK Jaong yang mempunyai 70 murid dengan 21 daripadanya menginap di asrama, baru menerima kemudahan di asrama seperti katil, tilam dan almari.

Bagi menambah baik kemudahan di sekolah itu, katanya, beberapa unit kuarters guru yang sudah uzur akan dibaiki segera.

Bagi SK Aping, katanya, Kementerian Pendidikan memberi perhatian kepada penambahbaikan bilik pemulihan serta akan menyelesaikan segera kerja pendawaian serta penyambungan bekalan elektrik awam di sekolah itu.

“Saya dimaklumkan SK Aping di Sri Aman yang mempunyai 82 murid dan 11 murid prasekolah, dalam perancangan untuk dipindahkan ke lokasi baharu,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Di Lubok Antu pula, Radzi melawat SMK Engkilili di Lubok Antu yang mempunyai 1,121 pelajar, dengan 163 daripadanya adalah pelajar Tingkatan Lima dan 83 pelajar Tingkatan Enam.

Ketika di sekolah itu, beliau mengambil kesempatan bertanya khabar dengan beberapa pelajar Tingkatan Enam Semester Dua yang sedang mengulang kaji sebagai persiapan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

“Pak Cik doakan agar anak-anak semua dapat belajar dalam keadaan selamat dan berjaya dalam peperiksaan,” katanya.

Bagi SK San Semanju dan SK Ridan di Lubok Antu, Radzi memberi jaminan akan memberi perhatian untuk menyediakan bekalan air bersih di sekolah dan asrama kedua-dua sekolah berkenaan, yang masing-masing memiliki 131 dan 127 pelajar.

“Begitu juga (perhatian diberikan pada) kemudahan di asrama seperti katil dan tilam untuk kegunaan murid,” katanya.

Pada hari pertama lawatan kerja di Sarawak, Radzi meninjau infrastruktur dan pengoperasian lima sekolah di Lundu, iaitu SK Raso, SMK Senibong, SK Biawak, SMK Sematan, SK Telok Melano.

Antara perkara yang menjadi perhatiannya di Lundu adalah membabitkan blok bangunan sekolah dan asrama yang tidak selamat, tekanan air rendah, penambahan fasiliti, kerosakan kuarters guru serta menyegerakan projek pembaikan sistem tadahan air hujan di sekolah berkenaan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *