KUALA LUMPUR, 27 Okt — Penggunaan teknologi dan ekonomi digital yang lebih menyeluruh dalam sektor agromakanan antara keutamaan yang perlu diberi perhatian oleh negara anggota ASEAN bagi memastikan setiap negara mampu menangani sebarang ketidaktentuan dalam sektor berkenaan di masa hadapan.
Dalam kenyataan pada Rabu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjelaskan, keutamaan juga perlu diberikan dalam meningkatkan daya tahan sistem makanan dan memastikan sumber makanan yang mampan.
Perkara itu disuarakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semasa mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) ke-43 dan Mesyuarat AMAF+3 (China, Jepun dan Korea Selatan) ke-21 yang diadakan secara sidang video hari ini.
Menurut MAFI, selain itu perkara penting yang dibangkitkan dalam Mesyuarat AMAF kali ini adalah usaha pemulihan dan daya tahan ekonomi negara anggota ASEAN pasca-COVID-19 berdasarkan Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan usaha di peringkat nasional berkaitan bidang makanan, pertanian dan perhutanan.
Mesyuarat itu turut membangkitkan berkaitan kemajuan pelaksanaan kerangka dasar berkaitan kerjasama ASEAN dalam bidang makanan, pertanian dan perhutanan serta kerjasama dan projek penting bagi menyokong visi dan pelan strategik kerjasama ASEAN dalam sektor berkenaan bagi 2016-2025, jelasnya.
Ia menambah, Malaysia juga mengetengahkan kepentingan pengemaskinian senarai barang keperluan ASEAN di bawah ACRF meliputi cadangan Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi (SEOM) untuk memasukkan makanan ruji seperti beras, jagung dan gula ke dalam senarai barang keperluan sedia ada.
“Delegasi Malaysia dan rakan-rakan sejawatan ASEAN menerusi mesyuarat AMAF+3 juga telah bersetuju dan mengesahkan Laporan Pengerusi Pegawai Kanan (SOM) AMAF+3 mengenai program dan aktiviti yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut.
“Dalam hal ini, Malaysia mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan ketiga-tiga negara itu dalam usaha mempercepat proses pemulihan ekonomi dan pembangunan demi kemakmuran serantau,” jelas MAFI.
Malaysia juga menyuarakan komitmen dalam merealisasikan rangka kerja dasar ASEAN mengenai makanan, pertanian dan perhutanan di bawah AMAF dan AMAF+3 di mana selaras komitmen ini, Malaysia telah melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) pada 25 Okt, 2021 yang akan menjadikan sektor agromakanan sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.