KUALA LUMPUR, 28 Okt — Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perpecahan masyarakat dalam berpolitik di negara ini bukan disebabkan oleh parti-parti yang terdapat di negara ini tetapi kerana sikap sesetengah individu atau pemimpin yang mempunyai agenda atau kepentingan tersendiri.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata kebanyakan perlembagaan dan dasar perjuangan yang digariskan oleh parti-parti politik di negara ini adalah berasaskan perjuangan yang baik seperti menegakkan kedaulatan bangsa, agama dan negara.
“Bagaimanapun malangnya sebahagian daripada ahli politik telah lupa kepada asas-asas tersebut atas sebab-sebab tertentu seperti ingin berebut kuasa dan memenuhi kepentingan kelompok tertentu,” katanya dalam sesi temu bual bersama Garasi TV malam tadi.
Bekas perdana menteri itu berkata, setiap parti politik yang ditubuhkan, termasuk BERSATU, akan mendokong perlembagaan negara dan tidak lari daripada menerapkan nilai-nilai yang baik dalam kehidupan dan matlamat perjuangan.
Muhyiddin berkata, pemimpin perlu menggunakan kaedah politik yang sederhana dalam cara mereka berpolitik walaupun mempunyai matlamat untuk mengambil alih kuasa kerajaan.
“Mesti sederhana, jangan rakus. Kita tidak boleh menghalalkan semua cara hanya kerana hendak mendapat matlamat tertentu. Perlu guna cara yang tidak memudaratkan masyarakat negara ini yang berbilang kaum,” katanya.
Selain itu, katanya, rakyat juga termasuk generasi muda boleh memberi pengajaran kepada ahli politik yang sedemikian dengan menjadikan pilihan raya sebagai medan memilih pemimpin dan parti yang terbaik untuk memerintah.
Beliau berkata, negara kini sedang memasuki proses kematangan dalam berpolitik dan golongan muda juga sedang diberi peluang untuk menyertainya, selain membuka peluang kepada mereka menjadi pengundi seperti membenarkan pengundi berumur 18 tahun.
Katanya, generasi muda seharusnya tidak boleh kecewa dengan situasi politik yang berlaku dalam negara kerana ia merupakan proses kematangan yang sedang berlaku dalam dunia politik di negara ini.
“Mereka boleh mempelajari dengan apa yang berlaku dan kemudiannya menjadi pemimpin politik yang lebih baik di masa depan dengan menjadikan apa yang berlaku sekarang sebagai pengajaran,” katanya.