PENAMPANG, 28 Okt — Kerajaan negeri Sabah memberi kebanaran kepada Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) untuk memberi pinjaman perumahan kepada penjawat awam di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Mengumumkan perkara itu, Hajiji berkata kebenaran tersebut bertujuan memberi kemudahan pinjaman kewangan kepada penjawat awam negeri untuk memiliki rumah sendiri sama ada membeli atau membina rumah.
“Justeru, saya berharap PPS akan terus maju sebagai satu agensi kerajaan yang dibanggakan. Daripada taklimat diberikan, jelas PPS adalah agensi mantap dan perlu dicontohi oleh mana-mana agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dividen, Faedah dan Zakat Perniagaan PPS kepada kerajaan Sabah di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PPS Datuk Yee Moh Chai, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.
Pada majlis itu, kerajaan Sabah menerima dividen RM17.5 juta daripada PPS, selain RM576,421.44 sebagai pembayaran faedah bagi tahun 2020 dan pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM263,690.55 bagi tempoh sama.
Hajiji berkata walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan terkesan dengan perubahan landskap ekonomi susulan pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu, namun, PPS masih mampu menunjukkan daya saing cemerlang serta mampu menghasilkan keputusan memberangsangkan.
“Sejak tahun 2002, PPS tidak pernah gagal untuk membayar dividen kepada kerajaan negeri dan usaha ini amat dihargai. Saya berharap pemberian dividen oleh PPS bermula sejak 19 tahun lalu diteruskan pada tahun mendatang sekali gus mengekalkan prestasi cemerlang,” katanya.
Katanya setiap agensi termasuk PPS perlu meningkatkan mutu dan memberi khidmat terbaik, selain meneroka lebih banyak bidang perniagaan demi kepuasan pelanggan memandangkan harapan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan telah berubah kepada unjuran lebih besar.