KUALA LUMPUR, 30 Okt — Bajet 2022 jelas menunjukkan komitmen kerajaan memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan terkesan akibat pandemik COVID-19 dalam semangat kebersamaan Keluarga Malaysia.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya belanjawan itu akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan diumumkan sampai kepada sasaran terutama kepada pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik.
“Ini amat penting dalam memastikan kejayaan 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata beliau yakin Bajet 2022 yang berpaksikan kepada tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara yang sedang giat dijalankan.
“Bajet ini akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam dan struktur ekonomi.
“Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya.
Beliau berkata peruntukan kedua terbesar diberikan kepada Kementerian Kesihatan amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik dan berharap penekanan pada sektor kesihatan ini dapat terus memperkukuh sistem kesihatan negara bagi menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan.
Peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula katanya, menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar.
“Saya berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan, yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan.
“Saya menyeru semua rakyat Malaysia bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara dapat berjalan lancar dan kita semua dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.