RMK12 beri penekanan usaha basmi kemiskinan di Sabah

KOTA KINABALU, 30 Okt — Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan memberi penekanan tentang usaha membasmi kemiskinan di Sabah menjelang 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sehubungan itu, beliau berkata terdapat kaedah baharu yang bakal dilaksanakan melibatkan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan pusat, negeri dan swasta bagi melonjakkan ekonomi khususnya di kawasan luar bandar bagi melaksanakan usaha membasmi kemiskinan tersebut.

“Oleh kerana Sabah adalah negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia maka antara yang kita perlu beri perhatian dalam RMK-12 adalah kaedah baharu bagaimana menangani isu kemiskinan menjelang 2025…miskin tegar akan dihapuskan dan kadar kemiskinan dikurangkan di Sabah.

“Permulaan kita mohon kerjasama kerajaan negeri mengenal pasti dua lokasi di luar bandar, kami bangunkan kawasan berkenaan dan tumpuan kami melaksanakan projek yang mampu meningkatkan pendapatan petani atau orang kampung seperti dalam bidang pertanian atau apa sahaja bidang yang boleh dimajukan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Roadshow Pasca RMK12 bersama Kerajaan negeri Sabah yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Mustapa berkata pendekatan lain yang akan diambil untuk membasmi kemiskinan di Sabah adalah memastikan lonjakan ekonomi di Sabah dapat dilipatgandakan dan sebuah jawatankuasa khas melibatkan kerjasama kerajaan negeri dan pusat akan ditubuhkan bagi melaksanakan pendekatan tersebut.

Beliau berkata melalui jawatankuasa ini kerajaan negeri dapat berkongsi apa yang dirancangkan dalam Sabah Maju Jaya (SMJ) supaya hasrat untuk melonjakkan kadar pertumbuhan ekonomi Sabah dapat dijayakan.

“Perkara ini penting untuk memastikan jurang pembangunan negeri-negeri di Malaysia dapat dirapatkan…oleh itu perhubungan itu penting dan kami pastikan pembangunan di Sabah dapat terus dipertingkatkan khususnya kemudahan infrastruktur,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia sebelum ini, Sabah menghadapi pelbagai isu dan cabaran antaranya kekurangan prasarana dan infrastruktur asas, pembangunan tidak seimbang, serta kolaborasi dan penyampaian perkhidmatan awam yang kurang cekap dan berkesan.

“Dengan mengambil kira isu dan cabaran tersebut, kerajaan negeri menyokong penuh langkah kerajaan Persekutuan memacu pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata selain itu kerajaan negeri dan rakyat Sabah berharap agar kerajaan Persekutuan akan terus menyokong dan memberi perhatian kepada kemajuan negeri ini secara inklusif.

“Ini termasuklah pemberian peruntukan yang lebih besar pada pada masa hadapan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat negeri ini,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *