AS sedia bantu Malaysia perkukuh kerjasama pelbagai bidang

PUTRAJAYA, 15 Dis – Malaysia menyambut baik kesediaan Amerika Syarikat (AS) untuk membantu dalam memperkukuh kerjasama pelbagai bidang berkepentingan jangka masa panjang.

Persetujuan itu antara beberapa isu yang dicapai dalam pertemuan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ke atas Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra di sini hari ini.

Langkah tersebut malahan meliputi kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, keselamatan siber, pertahanan, kesihatan dan isu jalinan antara rakyat-kepada-rakyat.

Komitmen berkenaan bakal menyaksikan hubungan akrab oleh kedua-dua negara rantau Asia Pasifik itu dalam Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS melonjak ke paras yang lebih tinggi.

“Kami banyak bincang lebih mendalam pelbagai isu hubungan dua jala, serantau dan sejagat selain komited bekerja rapat,” jelas Saifuddin lagi pada sidang akhbar bersama-sama Blinken.

Ini lawatan julung kali ke Malaysia sejak dilantik oleh Presiden Joe Biden pada 26 Januari lalu dengan turut ada kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kali terakhir penyandang jawatan itu melawat negara ini ialah pada 2018 lalu oleh Michael Pompeo, namun tiada sesi kunjungan hormat ke atas mana-mana pemimpin Pakatan Harapan.

Situasi itu memberi mesej hubungan kurang mesra berbanding pada 2017 lalu apabila Rex Tillerson datang mengunjungi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Negara AS ke-69 ini dihantar khas oleh bekas Presiden Donald Trump, bahkan penyandang sebelumnya, John Kerry juga pernah datang pada 2015 bertemu pemimpin negara.

Mengulas lanjut, Saifuddin gembira AS membantu negara serantau dengan peruntukan AS$5 juta (kira-kira RM21 juta) untuk mengukuhkan keupayaan sistem keselamatan siber awam.

“Saya turut ambil peluang memohon bantuan sokongan AS bagi membina Pusat Analisis dan Perkongsian Maklumat seperti yang sedia ada diwujudkan sekian lama di negara itu,” katanya.

Beliau juga menyambut baik kesediaan AS untuk memeterai memorandum persefahaman bagi kerjasama maritim antara agensi penguatkuasaan undang-undang kedua-dua negara itu.

Ia sebagai lanjutan sumbangan AS yang bernilai AS$1.5 juta (kira-kira RM6.3 juta) kepada unit kecemasan Angkatan Tentera Malaysia selain pemberian sejumlah dron pemantauan terkini.

Menyentuh isu diplomasi kesihatan, beliau juga menghargai inisiatif AS yang mengecualikan hak cipta harta intelektual secara sementara bagi membolehkan pengeluaran vaksin Covid-19.

Langkah itu berjaya mengurangkan kos pembelian vaksin dan pada masa sama, AS banyak menyumbang ihsan sejuta dos, peralatan perubatan dan kewangan bernilai hampir RM20 juta.

“Saya turut memohon agar dapat diberi pertimbangan untuk hantar diplomat Malaysia mengikuti program latihan di Institut Perkhidmatan Luar di bawah Jabatan Negara AS,” kata Saifuddin.

Usaha itu dengan merujuk kejayaan ramai pegawai Wisma Putra pernah menyertai Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa AS yang diharapkan dapat diteruskan lagi secara berkala.

Mengenai isu ASEAN, beliau merakamkan penghargaan ke atas penglibatan aktif AS sebagai rakan dialog penting rantau Asia Tenggara dalam menjayakan beberapa isu berkepentingan.

Ini termasuk iltizam AS yang memberi sokongan mandat kepada Utusan Khas Pengerusi ASEAN bagi menamatkan krisis politik Myanmar ekoran rampasan kuasa junta pada 1 Februari lalu.

Kestabilan negara itu ujarnya, dapat menyelesaikan isu kemelut pelarian etnik Rohingya yang membebankan Malaysia sekian lama sehingga terpaksa menanggung banyak kesan rantaian.

“Saya justeru saran AS bantu Malaysia dalam pendidikan anak etnik itu di negara ini menerusi 48 kelas selain menerima ramai pelarian yang mahu mencari suaka di negara ketiga,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *