PETALING JAYA, 17 Dis – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Perhimpunan Agung Tahunan PPBM akan diadakan secara fizikal selama dua hari, bermula esok dan Ahad, di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC) dengan dihadiri kira-kira 1,600 perwakilan daripada 197 bahagian dari seluruh negara.
Ahmad Faizal berkata perhimpunan akan dimulakan dengan perasmian sayap-sayap parti iaitu Armada dan Srikandi bermula esok dan diikuti perhimpunan agung parti dengan ucapan dasar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad.
“Kami menjangkakan ucapan dasar Tan Sri Muhyiddin akan menggariskan perkara-perkara penting yang akan menjadi panduan bagi semua ahli-ahli seperti prinsip-prinsip asas dalam perjuangan BERSATU, menyentuh situasi politik semasa terutama dari segi pergerakan BERSATU dalam PN dan juga dalam kerajaan.
“Tentu sekali Presiden akan menekankan tentang asas perjuangan kita dari segi agenda pemegang amanah, menjaga integriti dan tadbir urus dengan baik yang menjadi tawaran yang dibawa oleh BERSATU,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU di Damansara Perdana hari ini.
Turut hadir, Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Setiausaha Kerja BERSATU, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.