MPN syor perluas ambilan tenaga kerja asing

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan pengambilan tenaga kerja asing diperluas untuk sektor ekonomi selain perladangan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu bagi memastikan sektor-sektor ekonomi yang dibuka semula dapat beroperasi dengan kapasiti prapandemik.

Katanya, pelaksanaan itu juga perlu disegerakan dan terselaras agar tidak timbul kesulitan kepada pihak industri yang sedang dalam proses pemulihan.

“Namun, MPN menyarankan Jawatankuasa Bertindak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencari penyelesaian untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam masa yang panjang.

“Majlis pada dasarnya juga bersetuju bahawa cadangan-cadangan bantuan kepada sektor PKS perlu lebih bersasar dengan memberi keutamaan kepada sektor krititkal.

“Majlis juga mengesyorkan Kementerian Kesihatan perlu memperkasa kempen kesedaran, ujian saringan Covid-19 kendiri dan mendapatkan suntikan dos penggalak sebagai langkah berwaspada dalam penularan wabak.

“Majlis juga berpendapat perlunya langkah yang proaktif dan lebih ketat dalam mengambil kira ancaman varian Omicron dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Ini penting dalam mengimbangi kepentingan kesihatan awam dan juga ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MPN di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), hari ini.

Terdahulu, mesyuarat MPN yang diadakan hari ini bermula bermula dengan taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan berkaitan Covid-19, strategi pemberian dos penggalak dan langkah pengawalan serta pencegahan varian baharu Omicron.

Mesyuarat juga diberikan taklimat jawatankuasa bertindak PKS mengenai isu aliran tunai dan pembiayaan yang diterjuai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan mendengar taklimat daripada jawatankuasa itu mengenai tenaga kerja yang diterajui Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, selaras dengan pembukaan semula ekonomi seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara, indikator-indikator utama ekonomi semakin menunjukkan momentum pemulihan yang menggalakkan untuk suku tahun keempat 2021, malah petunjuk keyakinan perniagaan bagi suku tahun keempat 2021 turut bertambah baik.

“Majlis juga optimistik bahawa momentum pemulihan ini akan berterusan untuk memasuki 2022.

“Proses pemulihan negara perlu diperkukuh lagi dengan memastikan semua dasar dilaksanakan dengan segera terselaras, cekap dan berkesan.

“Dalam hal ini, Majlis terus menyokong usaha kerajaan dalam memulih semula dan meningkatkan daya tahan semua segmen sosioekonomi negara,” jelasnya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *