KUALA LUMPUR, 18 Dis – Kepimpinan dan ahli BERSATU dingatkan agar tidak bergembira tentang parti lain yang dihadapkan dengan pertuduhan mahupun sabitan di mahkamah.
Tanpa merujuk mana-mana pihak secara khusus, Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata mereka seharusnya berasa kecewa dan menjadikannya sebagai iktibar.
“Kita wajar berasa sedih dan kecewa, kita patut berasa insaf dan hiba…. Melihat mantan pemimpin negara, mantan pemimpin orang Melayu berdepan dengan mahkamah pengadilan kuasa, bukanlah ruang pandang yang mewajarkan gegak gempita.
“Bukan cara kita bertepuk gembira. Bukan amalan kita bersukacita dengan mehnah yang menimpa. Mereka juga ada anak dan keluarga, ada maruah yang perlu dipelihara.
“Segala yang berlaku, harus memberi iktibar dan pengajaran buat kita. Jangan sesekali lena dan khayal dengan kuasa,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan kali keempat Bersatu, di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Faizal juga turut menyeru hadirin agar mendoakan kesihatan bekas pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Kita doakan agar beliau diberi kesihatan terbaik dan diberi kesembuhan segera.
“Insya-Allah sedikit salah faham tak meruntuh rasa kasih dan hormat kita terhadap Tun Mahathir,” katanya.