Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
PENGERUSI TETAP SRIKANDI BERSATU MALAYSIA,
DATIN IDA HARLINA IKHWAN NASIR
PENGERUSI TETAP ARMADA BERSATU MALAYSIA,
SAUDARA AKMAL ZAHIN HAJI ZAINAL
TIMBALAN PENGERUSI TETAP SRIKANDI
TIMBALAN PENGERUSI TETAP ARMADA
YB DATO SERI RINA MOHD HARUN
KETUA SRIKANDI BERSATU MALAYSIA
YB SENATOR WAN AHMAD FAYSHAL WAN AHMAD KAMAL
KETUA ARMADA BERSATU MALAYSIA
BARISAN SAF KEPIMPINAN SRIKANDI DAN ARMADA NASIONAL
BARISAN SAF KEPIMPINAN SRIKANDI DAN ARMADA NEGERI-NEGERI
PIMPINAN SRIKANDI DAN ARMADA BAHAGIAN SELURUH NEGARA
PARA PERWAKILAN, PEMERHATI, PENDOKONG DAN PENGGERAK AKAR UMBI PARTI PRIBUMI BERSATU
TUAN-PUAN, SAUDARA-SAUDARI YANG DIHORMATI,
Izinkan saya memulakan dengan menyampaikan ucapan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT; dengan izin dan kudrat-Nya jua; kita dapat berkumpul di dalam dewan yang indah – pada pagi yang penuh bermakna ini.
Saya sesungguhnya berasa amat bangga, terharu dan bersemangat pada pagi ini; melihatkan seri wajah, segak tampan, kesungguhan komitmen Saudara-Saudari untuk hadir; sekaligus menunaikan amanah dan tanggungjawab besar kepada parti.
Manis bahasa, cantiknya budi;
Lenggangnya sopan, tegas berwaktu;
Santun juangnya, pejuang SRIKANDI;
Menjadi harapan, parti BERSATU;
Cantiknya budi, tidak berpada;
Bahasa tinggi, Pemuda tampan;
Yakinkan diri, pejuang ARMADA;
Usah gentar, jalan perjuangan!
Persidangan Agung Tahunan ini; bukan calang-calang medan dan pentas. Ini pentas tertinggi dan terulung dalam parti. Di sinilah tempat dan medannya; untuk kita melakukan penetapan agenda besar parti. Di sinilah ruangnya, kita dapat duduk berbincang; dengan jiwa yang ‘terbuka’ dan hati yang ‘tenang’; untuk melihat kembali kedudukan dan hala tuju sebenar parti yang amat kita sayangi ini.
Dalam keadaan kita dapat berkumpul bersama pagi ini; meraikan dan menyusun agenda parti – janganlah sesekali kita melupakan rakan-rakan, teman-teman seperjuangan kita; yang telah terlebih awal dijemput pergi oleh Allah SWT. Kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia, Allahyarham Datuk Wan Mohd Shahrir, mantan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Pahang dan juga pimpinan serta ahli-ahli BERSATU yang telah meninggalkan kita. AL FATIHAH.
Mereka lah wira kepada parti; yang telah mengenepikan kepentingan peribadi; yang telah menjulang nama parti walau ke mana sahaja mereka pergi. Mereka juga lah, yang tidak kekok mendokong amanah; walau tidak dijanjikan upah. Tidak sangsi mempertahan maruah; walau ada risiko tewas dan kalah.
Daya juang mereka inilah yang perlu kita jadikan iktibar dan ibrah.
Kita tidak perlu gentar dengan fakta dan hakikat bahawa kita sebuah parti yang baru. Usia kita belum pun sedekad. Kepimpinan kita belum pun seabad.
Namun, tidak ada seorang insan pun yang berupaya menidakkan; bahawa parti BERSATU ini terbingkas dengan iltizam dan tekad; bahawa parti BERSATU ini terbangun atas keinginan menolak rasuah dan fasad; bahawa parti BERSATU ini; sentiasa memperjuang menolak budaya kleptokrat.
Ini asas penubuhan parti kita. Ini teras perjuangan kita. Kita yakin dan percaya, andai dahulu setiap seorang daripada kita TIDAK punya keberanian untuk menolak sikap dan amalan kebinasaan; agama, bangsa dan negara bertuah ini – akan runtuh; sehingga generasi akan datang – akan menuding jari dan menyalahkan kita.
Kita wajar berasa sedih dan kecewa. Kita patut berasa insaf dan hiba. Waima siapalah sekalipun orangnya; melihat mantan pemimpin Negara; mantan pemimpin orang Melayu berdepan dengan mahkamah pengadilan kuasa; bukanlah ruang pandang yang mewajarkan gegak gempita.
Benar, kita berada di bahtera politik yang berbeza. Benar, kita memusuhi khianat dan salah guna kuasa. Namun, bukan cara kita bertepuk gembira atas alpa dan sengsara. Bukan amalan kita, bersukacita dengan mihnah yang menimpa. Mereka juga ada anak dan keluarga, mereka juga ada maruah yang perlu dipelihara.
Segala yang berlaku, harus memberi iktibar dan pengajaran buat kita. Jangan sesekali lena dan khayal dengan kuasa. Allah SWT jua pemilik segalanya. Penentu letak wibawa dan hina sesebuah bangsa.
Tuan-Puan Yang Dihormati Sekalian,
Dalam kita melakukan persiapan untuk PRU-15; kita mesti bersedia untuk melakukan muhasabah dan penilaian diri. Bukan sahaja untuk SRIKANDI dan ARMADA; tetapi untuk seluruh kepimpinan parti. Termasuk diri saya sendiri.
Hari ini, saya boleh memilih untuk menyusun ucapan dengan agenda-agenda yang besar dan hebat. Bercakap tentang geopolitik. Bercakap tentang konsep “balance of power”. Bercakap tentang isu-isu baru yang mesti ditangani di masa akan datang. Hari ini, saya membuat pilihan, ucapan saya hanya hanya bersifat “kembali kepada asas” (back to basics).
Sepanjang tempoh 6 tahun yang lalu ini, kita sebenarnya sedang diuji oleh Allah SWT. Daripada sebuah parti politik biasa; berhadapan dengan gelombang kekuasaan dan keutuhan wang ringgit; kita menempuh halilintar ujian politik luar biasa. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT; kebersamaan kita mengiringi ‘gelombang kebangkitan rakyat’; akhirnya memungkinkan kita beroleh kemenangan dan kedudukan.
Bila kita diberikan jawatan dan kedudukan; itu juga adalah ujian Allah SWT. Sebahagian kita; saya ulang ya, ‘sebahagian’; jadi lupa dengan asas perjuangan kita. Bayangkan, dulu tak ada jawatan; sekarang Allah bagi jawatan – Allah uji kita.
Allah mengingatkan kita dalam al-Quran, dengan maksud: –
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan?” (Surah Al-Ankabut: Ayat 2)
Sebahagian kecil kita jadi lupa dengan apa yang kita perjuangkan. Malah, kita amalkan perkara-perkara yang kita ‘musuhi’ dulu, sewaktu kita tidak mempunyai jawatan dan kedudukan. Kita mesti cepat menolak segala kelemahan yang melalaikan. Jika mereka bergerak dengan kesombongan; kitalah pembawa jalur budi dan kesederhanaan. Jika mereka angkuh dan ujub; lekaslah kita membawa taslim dan tawaduk ke dalam diri.
Ayuh kita gunakan pentas kali ini, kita lakukan pengukuhan semula nilai politik dalaman. Kita perlu berbalik kepada asas dan teras perjuangan kita. Kita perlu menghargai jentera akar umbi parti; kerana mereka-lah nadi kekuatan kita. Kita perkukuh kemesraan dan semangat kekeluargaan sesama kita. Kita perlu jujur dan ikhlas dengan diri sendiri.
Iktibar PRN Melaka
Saya ingin mengucapkan penghargaan ikhlas kepada Tan Sri Presiden; yang telah memberikan saya amanah untuk menerajui jentera PRN Melaka. Saya tahu, ia satu tugasan dan amanah besar – namun sebagai Timbalan Presiden; saya mesti memikul tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Saya ingin berterus terang; di peringkat awal – saya dan ramai rakan-rakan pimpinan dapat menghidu ‘udara kemenangan’. Penerimaan rakyat dan pengundi kepada ‘Abah’; saya sifatkan luar biasa. Kita dapat rasa ‘penerimaan positif’ rakyat.
Tapi sayang, hari demi hari, kita mula melihat kelompongan dan kelemahan kita di sana-sini. Boleh ke saya bercakap dengan jujur tentang kelemahan kita ni? SRIKANDI dan ARMADA boleh ke terima? Kita nak jujur dengan diri kita pada pagi ini? Boleh? Kalau tak sedia; saya boleh skip bab ini. Boleh saya teruskan?
Sebagai peneraju jentera PRN Melaka, saya nampak beberapa iktibar dan kelemahan ketara: –
Kita terlalu banyak “blame game” di Melaka. Kita banyak ‘menuding jari’, tapi tidak lihat kepada sumbangan kita sendiri. Kita kurang ‘D.I.Y” dalam gerakan kita. Do it yourself, kurang. Kita suka tengok orang buat kerja; supaya mudah kita salahkan dia kalau benda tak jadi. Setuju?
Model politik lama. Kita selalu seronok-seronok dengan kumpulan kita sendiri. Pergi Melaka. Kumpul sama sendiri. Tapi tidak turun mendekati pengundi. Tidak semua, saya boleh kenal siapa yang betul-betul buat kerja, tapi masih ramai yang amal cara politik lama ini. Engagement kita kurang.
Menuding jari dan menyalahkan jentera tempatan. Kita perlu akui kita tidak kuat di semua tempat. Ada kawasan, kita perlukan pemerkasaan rakan-rakan dari luar. Semangat kebersamaan mesti ada. Jangan terlalu pantas membuat tuduhan dan serangan. Ambil masa untuk meneliti keadaan;
Ada juga pandangan, yang mengatakan kita masih kekurangan ilmu pilihanraya. Kita suka jadi VIP. Saya sebut tadi, kita perlu kembali kepada asas. Asas ilmu pilihanraya ini ada dua – dan saya sendiri buat kedua-duanya. Ilmu susun kerusi dan ilmu letak bendera. Ini kita mesti fasih.
Semangat berpasukan (team spirit) kita masih longgar. Berdasarkan maklum balas di bawah, mereka suka cara kita berkempen; kita ambil pendekatan sederhana, santai dan tenang. Tapi, ‘outreach’ kita tidak merata.
Akhirnya, kita tewas di 26 kerusi daripada 28 yang kita tandingi. PRN Melaka membuktikan, ‘angin sokongan’ kepada Abah dan Perikatan Nasional sudah padu dan kuat; namun jentera dan outreach kita mesti juga diperkukuh. Jentera asas kita seperti ‘counting agent’ kena diperkukuh. Kita perlu minta mereka yang ‘bersama’ kita secara senyap, keluar dan sumbangkan tenaga kepada parti.
Namun begitu, saya juga WAJIB sebut di sini – PRN Melaka sebenarnya sudah membuka mata ‘rakyat’ dan ‘pengundi’; bahawa Perikatan Nasional ini serius dan bersungguh untuk memimpin Negara.
Kejayaan kita sewaktu PRN Sabah – dan “momentum sokongan” di Melaka ini mesti kita perkukuhkan. Saya ucap TAHNIAH kepada semua jentera SRIKANDI dan ARMADA yang telah mengerah keringat sewaktu PRN Melaka! Ramai sebenarnya yang berkorban untuk parti!
Salah seorang calon kita, SRIKANDI, ambil keputusan meninggalkan pekerjaan tetap, kerja yang baik, pangkat yang tinggi; dan masuk bertanding sebagai calon. Tidak ada rasa kerisauan apa pun. Beliau katakan pada saya, ‘Saya sanggup; kerana parti memerlukan saya!’. Ini kisah benar! Saya terharu dengan ‘keberanian politik’ SRIKANDI ini. (Kalau ada Dr tersebut; minta berdiri dan berikan tepukan gemuruh).
Demikian juga calon-calon ARMADA yang berani melangkah ke depan; menjadi calon dan membawa panji-panji parti. Inilah parti yang berani mengetengahkan calon muda di kalangan para profesional – untuk membawa nilai dan semangat BERSATU. Keberanian politik ini wajar kita raikan.
Kita jangan sesekali menganggap Melaka ini petanda yang buruk. Tidak sama sekali. Untuk BERSATU dan PERIKATAN NASIONAL – saya melihat penerimaan yang baik di kalangan rakyat. Bukan sahaja di Bemban dan Sungai Udang. Kita menunjukkan potensi amat baik di beberapa lagi kawasan – seperti Tg Bidara, Pantai Kundor dan Serkam.
Kita terima hakikat, kita kurang berjaya di Melaka. Kita terima hakikat, banyak yang kita perlu tambah baik. Tetapi, ada yang kononnya menyindir kita; minta kita bubarkan parti. Mereka lupa; parti ini tidak runtuh atas hinaan, cercaan dan makian. Bukan pejuang BERSATU namanya; jika menganggap ini sebagai pengakhiran kepada kita.
Menyusur Jalan Hadapan
Tahun-tahun dan dekad akan datang ini, akan dipenuhi dengan banyak ketidaktentuan. Banyak kajian mengatakan; suasana politik pasca-pandemik dipenuhi apa yang disebut sebagai “serpihan dan keterpecahan pemikiran”.
Mengurus dan mentadbir kerajaan tidak menjadi semudah dahulu. Ketidakseimbangan antara ‘apa yang rakyat mahukan (what people want); dan apa yang mampu kerajaan tawarkan (what government can offer) ini semakin menjarak dan menjurang. Ketegangan politik merupakan ‘norma baharu’ suasana pasca pandemik.
Parti yang baik dan berjaya; merupakan parti dan kerjasama politik yang boleh melakukan “perubahan dan pengadaptasian”. Parti BERSATU, dan kita semua ada kekuatan ini.
Sebelum kita melihat pengubahsuaian; kita perlu melihat asas kekuatan. Saya mengharapkan; kita semua dapat menggerakkan “asas politik” dan jatidiri kita di segenap peringkat. Letak pangkat kita di tepi. Bersamalah dengan pendokong parti.
Kita perlukan beberapa bulan akan datang ini – bagi memperkukuh semangat perjuangan kita dalam parti. Perbanyakkan program pengukuhan semangat. Bekerjasama dan saling membahu dalam memperkuat pengaruh kita di akar umbi. Saya yakin, jika ini dapat kita lakukan, kerjasama kita di dalam Perikatan Nasional akan dapat membawa kejayaan yang lebih bermakna.
Saya perlu ucap setinggi-tinggi PENGHARGAAN dan TERIMA KASIH kepada rakan-rakan kita dalam PERIKATAN NASIONAL. Rakan-rakan kita dari Parti Islam se-Malaysia (PAS); Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN); Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Kekuatan, keutuhan, kebersamaan PERIKATAN NASIONAL akan terus kita pereratkan.
Penutup
Apa sahajalah keadaan politik di masa akan datang; yang penting, yang mustahak dan yang wajar kita perkasakan ialah ‘jatidiri perjuangan’ setiap seorang daripada kita.
Marilah kita sama-sama bertanya diri kita sendiri; tentang tekad dan iltizam kita dalam memperkukuh agenda perjuangan: –
Apakah kita MENJULANG NILAI BERSATU; andai kita sendiri membudaya perpecahan?
Apakah kita MENEGAK DISIPLIN DAN ADAB BERSATU; andai kita terlalu sibuk menyusun agenda peribadi dan rakan taulan?
Apakah kita MENDOKONG PERPADUAN BERSATU; andai kita menidakkan kerangka pimpinan?
Apakah kita MEMPERKUKUH PERJUANGAN BERSATU; andai kita sendiri masih mengamalkan sikap politik yang pernah kita musuhi?
Apakah kita MEMPERKUKUH WIBAWA BERSATU; jika kita sendiri meletakkan syak wasangka rakyat kepada parti kesayangan kita ini.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terbangun atas NILAI, ADAB, PERPADUAN, PERJUANGAN DAN KEWIBAWAAN! Siapa jua yang tidak menjiwai asas penting ini – belum menjiwai perjuangan kita. Ayuh SRIKANDI dan ARMADA; kalian lah, anda semua lah, setiap seorang di dalam dewan inilah – MESTI menjadi AKAR TUNJANG kekuatan parti!
Saya menaruh sepenuh kepercayaan – SRIKANDI dan ARMADA akan terus menunjangi kekuatan parti. SRIKANDI dan ARMADA lah sebenarnya legasi masa hadapan kepada parti. SRIKANDI dan ARMADA juga lah – yang akan menjulang kekuatan parti sehingga ke akhirnya.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH dan PENGHARGAAN kepada semua SRIKANDI dan ARMADA; semua aktivis dan para pejuang yang ada di hadapan saya ini; kerana terus teguh, tegap dan kuat mendokong perjuangan BERSATU sehingga hari ini.
TAHNIAH kepada YB Dato’ Seri Rina dan saf kepimpinan SRIKANDI. TAHNIAH kepada YB WAF dan rakan-rakan pimpinan ARMADA. Moga semangat juang ini akan terus kita nyalakan; dalam mempersiapkan jentera parti menjelang PRU-15 yang akan datang.
Saya mendoakan SRIKANDI dan ARMADA akan terus teguh bersama kepimpinan. Jalan hadapan, tidak mungkin mudah dan selesa. Jalan hadapan politik kita, belum tentu menjanjikan syurga. Namun, kepada Allah jua kita panjatkan harapan. Selagi tubuh dan denyut nadi ini tidak terhenti; qudrat dan iradat-Nya akan menemani bayu perjuangan.
Ibarat peribahasa lama menyebut; ‘hendak kaya berdikit-dikit; hendak tuah bertabur urai; hendak berani berlawan ramai”. Ibarat “kebat sekebat erat; melangkah selangkah sampai; berkata sepatah sedang”. ‘Pantang berundur sebelum berjuang”; “patah sayap bertongkat paruh, patah paruh, bertongkat siku; membujur lalu melintang patah”.
Dengan lafaz, “Bismillahirrahmanirrahim”, saya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan SRIKANDI dan ARMADA 2021! Selamat bersidang!