SHAH ALAM, 21 Dis – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menafikan dakwaan pihaknya menghalang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melaksanakan operasi bantuan banjir.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Aminuddin Hassim, juga menafikan berlaku perselisihan faham berhubung pelaksanaan operasi antara agensi itu dengan ATM.
“Saya sudah bercakap dengan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan beliau menafikan ada mengeluarkan kenyataan berlaku perselisihan faham antara NADMA dan tentera.
“Laporan itu tidak benar kerana ATM antara agensi keselamatan dalam pasukan SMART di bawah NADMA.
“Hubungan kami kekal baik, khabar angin itu tidak lebih daripada pembohongan,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan yang dikeluarkan sebuah portal, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad di Pusat Media Bergerak, Pusat Kawalan Operasi Bencana Seksyen 25, Taman Sri Muda, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan kurangnya penyelarasan dalam menangani isu banjir yang melanda Selangor, Aminuddin berkata, pada 13 September lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN) diadakan dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Dalam mesyuarat itu, tanggungjawab sudah diberikan kepada semua agensi terbabit, dengan mereka sudah faham dan tahu fungsi dan peranan masing-masing jika berlaku bencana.
“Bencana ini ada tiga tahap iaitu daerah, tahap kedua membabitkan banyak daerah dalam satu negeri dan tahap ketiga adalah negara iaitu dua atau tiga negeri terbabit bencana.
“Jika berlaku (bencana) di peringkat negeri, maksudnya kerajaan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri yang akan mempengerusikan JPBN negeri dan mengambil alih semua agensi yang terbabit untuk menangani bencana.
“Peranan setiap agensi sudah digariskan sepenuhnya supaya tidak timbul isu kurangnya penyelarasan dalam kalangan agensi, malah termaktub dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.