JOHOR BAHRU, 22 Dis – BERSATU Johor menyifatkan pemergian Datuk Osman Sapian pada malam Selasa sebagai satu kehilangan besar kepada parti tersebut.
Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam itu amat disenangi rakan-rakan dalam arena politik serta berdedikasi dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.
Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor selepas Osman menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu sebagai seorang yang tegas.
“Badan Perhubungan BERSATU Negeri Johor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman yang telah kembali ke Rahmatullah.
“Pemergian Allahyarham yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi BERSATU Johor ini amatlah dirasai dan merupakan suatu kehilangan besar kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sejak awal penubuhan parti BERSATU terutamanya di Johor, jasa Allahyarham kepada parti amatlah besar.
“Begitu juga sumbangannya sepanjang menjadi wakil rakyat kepada agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.
Osman, 70, yang pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dilaporkan meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur pada jam 11.45 malam Selasa.
Sebelum ini, pada 13 Oktober media melaporkan Osman dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Johor kerana diserang strok ringan.
Osman yang merupakan Menteri Besar Johor Ke-16 kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan selepas tahap kesihatannya merosot.