SHAH ALAM, 22 Dis – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menghulurkan bantuan kepada lebih 1,000 mangsa banjir di beberapa negeri di negara ini.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, melalui Program PTPTN Prihatin: Misi Bantuan Banjir Skuad PTPTN Prihatin telah membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana banjir dan komited menyalurkan bantuan serta sumbangan yang sewajarnya.
“PTPTN telah bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dana Kita yang membantu mengurus dan menyelaraskan bantuan serta barangan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
“Pengagihan bantuan serta sumbangan adalah berdasarkan kepada kelulusan pihak yang berkaitan serta selaras dengan panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” jelas kenyataan itu pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, PTPTN telah menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada lebih 1,000 mangsa banjir yang terjejas yang mana setiap keluarga akan menerima sumbangan kit bantuan banjir berbentuk pemberian barangan keperluan harian dan makanan.
“PTPTN turut turun padang membantu mangsa membersihkan rumah kediaman masing-masing yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda. Skuad PTPTN Prihatin dan sukarelawan Dana Kita pada 20 Disember 2021 telah bergerak untuk menghulurkan sumbangan kit bantuan banjir kepada mangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” kata kenyataan itu.
Penyampaian sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswathy, Jalan Klang Lama telah disampaikan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.
Sementara itu, pemberian sumbangan di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat telah disampaikan oleh Lembaga Pengurusan PTPTN, Rohani Mohd Shahir dan turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.
PTPTN turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di PPS Hulu Langat yang disampaikan oleh Mastura.
Menurut kenyataan itu, Skuad PTPTN Prihatin serta sukarelawan Dana Kita akan bergerak untuk membantu mangsa banjir di lain-lain lokasi dan negeri termasuk di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“PTPTN sentiasa prihatin serta menyokong usaha kerajaan dalam membantu menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan,” katanya.