Program vaksinasi, aktiviti sosial, ekonomi kembali rancak – Muhyiddin imbas kejayaan PN tangani COVID-19

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Kejadian banjir besar yang melanda negara baru-baru ini sedikit sebanyak merencatkan pelan pemulihan ekonomi negara yang telah berada pada landasan yang betul sebagaimana dirancang Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Presiden BERSATU yang juga Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau berasa amat sedih dengan bencana ini kerana banyak harta benda yang musnah dan nyawa terkorban.

“Bagaimanapun kita mesti reda dengan ujian dan dugaan besar ini. Pastinya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Bencana ini telah menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

“Setiap rakyat Malaysia menunjukkan sikap solidariti dan kebersamaan dengan saling membantu antara satu sama lain.

“Saya kagum dan terharu melihat begitu ramai rakyat Malaysia yang menjadi ‘sukarelawan dan petugas barisan hadapan’ secara sukarela demi membantu mangsa banjir.

“Mereka tampil menghulur bantuan dengan bermacam cara. Ada yang turun ke lokasi mengerah tenaga dan kudrat, ada yang menghulurkan sumbangan wang ringgit dan tidak kurang yang mengutus doa untuk keselamatan serta kesejahteraan kepada mangsa banjir. Syabas rakyat Malaysia!” katanya dalam kenyataan perutusan Tahun Baru 2022 hari ini.

Dalam perutusan itu, Muhyiddin turut mengimbas kembali kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya dalam menangani pandemik COVID-19 tahun lalu.

Katanya, Malaysia berjaya menangani pandemik ini dengan berkesan khususnya dalam aspek pemberian vaksin kepada rakyat.

“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya dilaksanakan dengan cekap dan sehingga kini sebanyak 22,855,374 individu atau 97.6 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Hasil daripada kejayaan program vaksinasi ini, hampir kesemua sektor kehidupan rakyat sudah dibuka sepenuhnya. Rakyat sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

“Aktiviti sosial dan ekonomi kembali rancak dan rakyat seperti sudah kembali kepada kehidupan sebelum pandemik,” katanya.

Dengan pandemik COVID-19 yang berleluasa terutama penemuan varian lebih bahaya seperti Omicron serta banjir yang masih melanda, kata Muhyiddin, tahun 2022 sudah pasti menjadi tahun yang sukar dan mencabar bagi rakyat.

“Bagaimanapun saya percaya, cabaran ini dapat kita tangani dengan baik jika kita terus kekal bersatu, fokus dan tidak lalai dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita serta sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan cabaran luar jangka,” jelasnya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *