Masyarakat tidak boleh alpa bahaya rasuah

Saya menyokong penuh kempen Sinar Untuk Malaysia yang diusahakan oleh Dato Hussamuddin dan Sinar Harian. Kempen sebegini wajib berjalan secara berterusan kerana kita tidak boleh alpa mengenai bahaya rasuah kepada negara.

Saya perhatikan sejak PRU14 suara-suara masyarakat sivil mengenai isu integriti, tadbir urus dan governans seolah-olah tenggelam. Sedangkan itulah isu-isu yang menghasilkan perubahan bersejarah dalam PRU14. Kita perlu hidupkan semula suara-suara ini. NGO-NGO dan badan-badan yang menjuarai isu anti rasuah perlu kembali bangkit supaya penghayatan nilai-nilai murni dalam masyarakat menjadi utuh.

Dan saya rasa sehingga hari ini rakyat masih ternanti-nanti keputusan akhir proses perundangan mengenai kes-kes kleptokrasi dan rasuah besar dalam negara. Saya hormat sikap badan eksekutif dalam kerajaan tidak mahu mencampuri urusan kehakiman dan perundangan. Badan eksekutif hari ini tak mahu jadi seperti yang sebelumnya. Melalui kempen ini, kita mesti pertahan agar tiada campurtangan berlaku.

Tetapi institusi perundangan dan kehakiman juga mesti sedar persoalan yang berlegar dalam pemikiran rakyat. Mereka tertanya-tanya kenapa penyelesaian akhir amat perlahan. Kalau perlahan sangat, tahap kepercayaan rakyat kepada institusi itu juga akan turun. Sekarang ini pun dah ada yang menuduh institusi perundangan dan kehakiman kita bermain politik. Kita tak boleh benarkan tuduhan ini menjadi semakin meluas.

Saya doakan kempen Sinar ini berjaya. Saya akan bantu setakat termampu, terutama di kalangan kelompok politik. Saya mengajak semua kawan-kawan lain turut sokong kempen ini.

 

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *