Alahai, Masih Ada Yang Tak Reti Bahasa dan Buat-buat Tak Faham

Macam-macam perangai dipamerkan melalui kata-kata yang dilemparkan oleh segelintir ahli politik dalam isu PKP, Proklamasi Darurat, pengumuman insentif PERMAI berbilion ringgit, usaha memerangi Covid-19 dan beberapa isu lain.

Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semuanya dituduh tak kena dan tak betul. Semuanya salah.

Proklamasi Darurat pun dituduh tak betul walaupun dipersetujui dan ditandatangani  oleh Yang di-Pertuan Agong setelah baginda sendiri mempertimbangkannya dari pelbagai sudut.

Usaha dan cara memerangi Covid-19 juga dituduh tak betul.

Dengan kata lain dan kata mudah, orang yang buat tuduhan itu sahajalah yang betul dan yang bagus.

Tetapi tanpa kita sedari, rakyat sudah dan semakin penat dan berkali-kali melahirkan rasa meluat dengan tuduhan politik sebegini.

Rakyat melihat orang terbabit hanya mahukan jawatan, kepentingan diri dan kuasa.

Sepatutnya segelintir orang yang terbabit itu fikirkan cara membantu, mencari jalan penyelesaian dan sama-sama turun padang membantu rakyat.

Lebih baik bantu rakyat daripada asyik-asyik membuat tuduhan melulu. Seolah-olah semua orang lain salah dan dia saja yang betul.

Sedarkah kita bahawa membantu rakyat itu besar pahalanya di sisi Allah SWT? Pahala dari Allah SWT itu lebih besar berbanding perebutan jawatan dan kuasa.

Jawatan dan kuasa itu tidak lari ke mana pun. Tunggu sahajalah pilihan raya umum. Cepat atau lambat pilihan raya, ia akan tetap diadakan juga. Bila tiba masanya bertandinglah walaupun lebih daripada satu kerusi.

Jika difikirkan, kenapa tak sanggup tunggu PRU sebaliknya begitu terdesak hendak PRU dipercepatkan. Ada apa-apakah?

Rasa-rasanya memang rakyat sendiri tahu. Tepuk dada tanya selera.

Segelintir yang buat tuduhan itu rasa-rasanya memang sudah tidak boleh diubah fikiran mereka walaupun dengan fakta kebenaran.

Dengan kata lain walaupun kain itu jelas sekali berwarna putih namun dia tetap mengatakan  ia hitam.

Walaupun berbuih mulut kita berikan penjelasan namun semuanya dia akan kata tak betul.

Bagi saya, kita mesti kekal istiqamah membela nasib rakyat dan menjana ekonomi negara.

Akhirnya nanti rakyat akan menjadi hakim siapa yang membela mereka dan siapa yang mementingkan diri.

WAN SAIFUL WAN JAN
Ketua Penerangan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *