PULAU PINANG 17 Feb. – Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi hati rakyat jika dapat memahami keperluan serta kehendak semua kaum di negara ini sama ada Melayu, Cina, India serta etnik-etnik lain yang terdapat di Sabah dan Sarawak.
Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, H’ng Khoon Leng berkata, kaum Cina juga mempunyai keperluan sendiri dan PN harus memikirkannya.
“Bukan sahaja kaum Cina, masyarakat lain seperti Melayu, India dan etnik-etnik yang terdapat dalam negara ini juga mempunyai keperluan masing-masing.
“Sehubungan itu, PN perlu berusaha memenuhi keperluan serta kehendak setiap kaum dan etnik.
“Jika ini dapat dilakukan termasuk keperluan ekonomi dan sebagainya, PN akan dapat memenangi hati rakyat,’’ katanya.
Menjawab satu pertanyaan, beliau berkata, dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang memberi pelbagai kesan kepada rakyat dari segi kesihatan, ekonomi dan sebagainya, kerajaan harus memastikan setiap bantuan sampai ke peringkat bawahan dan diterima oleh rakyat.
Jelasnya, Gerakan tidak mahu nanti terdapat rungutan bahawa bantuan yang dikeluarkan tidak sampai kepada rakyat.
“Oleh itu, perlu ada makanisme untuk memantau bahawa setiap bantuan itu sampai kepada rakyat.
“Kerajaan sudah keluarkan bantuan dan kita tidak mahu ia tidak sampai disebabkan halangan tertentu,’’ katanya.