KUALA LUMPUR 1 Mac – Parti Gerakan hari ini melahirkan rasa keyakinan terhadap kemampuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang genap setahun menerajui kepemimpinan negara kerana kejayaannya menangani pelbagai isu terutama Covid-19, ekonomi dan permasalahan rakyat yang lain.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, walaupun diasak oleh pelbagai pihak yang mahu menggagalkan kepemimpinannya, namun Muhyiddin dilihat terus tenang dan dapat menyelesaikan isu-isu rakyat.
Jelasnya, atas dasar itu menyebabkan Gerakan dan rakyat negara ini semakin menyakini kemampuan serta kepemimpinan Muhyiddin.
Malah, kenyakinan Gerakan itu dibuktikan apabila parti berkenaan menyertai Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.
“Sepanjang setahun menjadi Perdana Menteri, pelbagai isu yang sebelum ini belum pernah muncul pada waktu kepemimpinan Perdana Menteri terdahulu tetapi kini timbul isu lain seperti Covid-19 yang menyebabkan rakyat dan ekonomi negara terkesan.
“Namun, Muhyiddin mampu menanganinya dan ini dihargai oleh rakyat bahawa beliau mempunyai kepemimpinan yang menyakinkan.
“Sebagai Perdana Menteri, beliau mungkin tidak dilihat sebagai kurang popular tetapi kepemimpinannya menjadi keyakinan serta inspirasi kepada rakyat, kakitangan awam dan swasta.
“Beliau dilihat dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk rakyat dan negara. Oleh itu Gerakan amat yakin serta menghargai kepemimpinan Muhyiddin,’’ katanya.