KUALA LUMPUR 1 Mac – Kerajaan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa prihatin dan berusaha keras mengatasi segala cabaran genting dan seterusnya meletakkan keperluan rakyat sebagai keutamaan.
Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd. Harun memberitahu, Muhyiddin juga dapat mendalami dan memahami denyut nadi rakyat Malaysia, khususnya ketika mendepani cabaran Covid-19.
“Sehubungan itu, dalam membela dan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan menjadikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sebagai tunjang utama.
“Bukan sahaja menyediakan vaksin bagi mensejahterakan kesihatan rakyat, malah memperkenalkan pakej-pakej rangsangan ekonom seperti Prihatin Rakyat, Penjana dan Permai.
“Semua pakej itu adalah untuk rakyat dan memulihkan ekonomi negara,’’ katanya.
Rina berkata, setelah genap setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin menerajui negara, walaupun berhadapan pelbagai ujian termasuk desakan politik, namun Perdana Menteri berjaya menanganinya.
“Tempoh setahun ini merupakan satu tempoh yang sangat mencabar dan kita semua tidak pernah lalui sebelum ini.
“Pandemik Covid-19 memberi kesan yang amat mendalam kepada seluruh dunia, termasuk juga negara kita, Malaysia.
“Namun, dalam apa jua situasi, kerajaan pimpinan Muhyiddin sentiasa prihatin dan berusaha keras mengatasi segala cabaran genting dan meletakkan keperluan rakyat sebagai keutamaan,’’ katanya.
Rina seterusnya menggesa rakyat agar terus bersatu hati dan bertekad untuk membawa Malaysia bangkit menjadi sebuah negara yang lebih kukuh dan utuh di bawah kepemimpinan Muhyiddin.
“Ayuh semua, kita bulatkan tekad dan seiring melangkah menuju masa depan yang lebih gemilang,’’ tegas beliau.