KUALA LUMPUR 17 April – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta ahli-ahli politik dalam komponen Perikatan Nasional (PN), UMNO dan para pengundi memikirkan sejenak apakah mereka masih mahu Pakatan Harapan (PH) mentadbir urus negara seperti yang telah berlaku selama 22 bulan PH memerintah?
Beliau berkata, jika masih mahu PH menang dalam PRU-15, secara langsung mereka mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Jelasnya, jika ini berlaku bermakna DAP juga akan turut serta sebagai kerajaan kerana parti tersebut adalah rakan sekutu rapat kepada PKR.
“Apakah pengalaman pahit semasa PH mentadbir urus negara selama 22 bulan selepas PRU-14 masih hendak diulangi?
Apakah kita tidak belajar dari pengalaman lalu? Apakah kita tidak serik?
“Rakyat sudah serik ketika PH memerintah negara. Banyak janji yang tidak ditunaikan.
“Dalam hal ini saya juga mahu UMNO memikirkan apakah parti itu mahu PH memerintah negara seperti yang berlaku selama 22 bulan dengan Anwar menjadi PM?” katanya.
Wan Saiful berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan dalam wawancara bersama Utusan Malaysia dan Utusan Online di sini.
Menjawab pertanyaan lain, Wan Saiful turut melemparkan persoalan kepada umum bahawa siapa yang layak dan boleh diketengahkan sebagai Perdana Menteri selain daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin?
“Rakyat tahu dan dapat menilai kepemimpinan Muhyiddin yang sentiasa fokus kepada usaha membela dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Wan Saiful turut menjelaskan bahawa kehadiran BERSATU dan PN adalah jelas dengan agenda kemakmuran kepada semua tanpa mengira kaum dan agama.
“Kemakmuran yang diperjuangkan adalah untuk semua kaum. Tiada rakyat atau pihak yang tercicir. Sebab itu kita fokus kepada membela rakyat,” katanya.
Kepada soalan lain, Wan Saiful mengakui bahawa BERSATU banyak bertolak ansur dalam banyak perkara walaupun menerima pelbagai desakan politik.
“Kepemimpinan Muhyiddin banyak bertolak ansur walaupun kita sendiri tahu bahawa ahli-ahli akar umbi begitu terkesan dan tersinggung dengan desakan politik terhadap BERSATU.
“BERSATU sentiasa bertolak ansur dan kita tidak pun mendesak atau membalas balik desakan-desakan politik tersebut.
“Kita biarkan rakyat menilai siapa yang mendesak kita,” katanya.