Kemas kini buku teks sejarah agar fakta sebenar diketahui umum.

Seorang yang dianggap sebagai pakar dan sejarahwan baru-baru ini telah membuat dakwaan kononnya buku teks subjek sejarah peringkat sekolah menengah edisi terkini adalah berat sebelah dan tidak tepat.

Yang ditekankan olehnya ialah fakta dalam buku teks itu kononnya diperbesarkan hal-hal yang berkaitan Melayu dan Islam.

Kononnya penceritaan sejarah negara kita itu adalah dari perspektif satu etnik saja (Melayu) kerana kebanyakan (bukan semua) penulis buku teks sejarah itu adalah kaum Melayu.

Sosok yang mengkritik itu turut menekankan asal usul tamadun Melayu berasal dari pengaruh Hindu-Buddha yang sepatutnya ditonjolkan juga dalam buku teks sejarah.

Secara dasarnya saya setuju buku teks sejarah negara kita ini dinilai dan diolah semula agar ia lebih menepati fakta dan realiti sebenar walaupun pahit untuk ditelan sesetengah pihak.

Fakta utamanya ialah tiada nenek moyang rakyat biasa kaum peribumi negara ini, tidak kira kaum Melayu, Iban, Orang Asli atau Kadazan-Dusun yang menjemput bangsa atau kaum lain dari luar Nusantara ini untuk bermastautin di tanah mereka hingga menuntut hak sama rata pula di kemudian hari.

Jika ada yang terfikir untuk memutarkan sejarah bahawa Melayu itu berasal dari kepulauan Indonesia, baiklah baca balik sejarah Semenanjung Tanah Melayu ini sebelum Kesultanan Melaka wujud lagi.

Oleh kerana itu saya menggesa agar fakta-fakta sejarah pra-Melaka diceritakan dalam silibus sejarah peringkat sekolah secara terperinci agar generasi baharu rakyat Malaysia faham bahawa tamadun Melayu di Semenanjung tidak hanya bermula dari Melaka.

Di Semenanjung, rumpun Melayu telah membentuk peradaban sejak lebih 2000 tahun lagi ketika Empayar Funan di Indo-China membesar, ketika itulah munculnya kerajaan Tanah Merah (digelar Chih Tu oleh catatan China) di Kelantan, kerajaan Zamin Turan (Kedah Tua), kerajaan Gangga Negara di Perak, dan beberapa lagi, jauh sebelum wujudnya empayar pertama rumpun Melayu bernama Srivijaya.

Dan bila bercakap soal ‘keHinduan’ Melayu di zaman silam, jangan pula ada ekstremis Tamil Hindu yang mendabik dada kononnya kaum merekalah yang membawa ajaran Hindu ke Nusantara.

Faktanya ialah kaum Odisha silam dari kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Kalinga dalam epik Mahabharata, mereka itu berbahasa Odia yakni dalam kelompok linguistik Aryan (bukan Dravidian seperti Tamil) merupakan manusia dari Benua Kecil India yang terawal berlayar ke Nusantara untuk berdagang dan membawa ajaran Hindu.

Perlayaran etnik Odisha silam itu membawa Hindu sejauh ke Pulau Bali. Kerana itu hingga ke hari ini masyarakat Odisham memperingatisambutan Bali Yatra setiap tahun untuk memperingati sejarah nenek moyang mereka berlayar membawa mesej Hindu hingga ke Bali.

Dari sejarah inilah juga rumpun Melayu menamakan mereka yang datang dari Benua Kecil India itu sebagai Keling kerana kawasan mereka dahulunya bernama Kalinga.

Oleh itu Hindu yang diamalkan oleh warga Nusantara seperti Bali itu ada perbezaan ketara dari Hindu yang diamalkan oleh masyarakat Tamil di negara kita.

Tiada apa yang hendak dimalukan untuk mengakui bahawa nenek moyang Melayu dahulu rata-ratanya beragama Hindu. Kerana mempunyai agama dan mengikuti aturan adat boleh membezakan sesuatu masyarakat itu dengan manusia yang tidak bertamadun langsung. Malah Sumatera pun pernah menjadi pusat pengajian agama Buddha di zaman Srivijaya. Sami dari China bernama I Tsing pun merantau ke Nusantara untuk menuntut ilmu Buddha di Sumatera.

Saya juga sokong jika sejarah kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak turut diperincikan terutama tokoh-tokoh pejuang yang menentang bangsa penjajah.

Budaya dan adat masyarakat peribumi wajar diberitahu tanpa sebarang prejudis. Hakikatnya kita tidak menafikan sumbangan setiap kaum yang telah menjadi warganegara Malaysia pada hari ini, namun bila sebut soal sejarah, hakikat yang perlu diterima ialah negara ini telah bertuan dan bertamadun sebelum Malaysia terbentuk lagi. Dan tamadun itu didominasi oleh kaum peribuminya.

Cuba kita baca buku teks sejarah negara lain sebagai perbandingan. Di United Kingdom, sejarah yang ditulis sudah tentu lebih condong ke arah sejarah England kerana pihak itu yang mendominasi perihal sosiopolitik UK sungguhpun terdapat etnik Yahudi yang turut menjadi warganegara serta menyumbang ke arah pembangunan negara tersebut.

Begitu juga Thailand jiran kita, walaupun terdapat kepelbagaian etnik, namun sejarah etnik T’ai (etnik majoriti) dijadikan asas negara itu.

Kelazimannya, etnik majoriti, lebih-lebih lagi peribumi asal tempat tersebut sudah tentu diberikan lebih penonjolan dalam mana-mana catatan sejarah negara tersebut.

DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *