Sokongan tinggi buktikan rakyat senangi Tan Sri Muhyiddin, tolak mereka yang hanya tahu “komplen” sahaja

Tinjauan terbaru Merdeka Centre mendapati sokongan rakyat kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal tinggi di tahap 67 peratus daripada pengundi. Peratusan ini membuktikan rakyat sayang kepada pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin yang terus menerus memberi tumpuan kepada membela nasib dan kebajikan mereka. Hasil tinjauan itu juga membuktikan rakyat menolak mereka yang hanya mahu meraih populariti politik untuk kepentingan peribadi.

Peratusan sokongan adalah tinggi dari kalangan orang Melayu (83 peratus) manakala dari kalangan bukan Melayu rendah sedikit. Saya melihat ini sebagai indikasi bahawa Perikatan Nasional perlu mempertingkat usaha menerangkan kepada rakyat bukan Melayu mengenai langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk memastikan kemakmuran negara dikongsi secara saksama dengan semua, tanpa mengira kaum dan agama.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa 74 peratus pengundi memperakui bahawa kerajaan Perikatan Nasional sentiasa konsisten dalam usaha membantu rakyat. 56 peratus pula merasakan kerajaan PN mempunyai visi yang jelas mengenai cara-cara untuk memperbaiki negara. Ini semua petanda bahawa keutamaan PN adalah betul.

Secara umumnya saya merasakan hasil tinjauan ini membuktikan bahawa rakyat boleh melihat dengan jelas siapa yang mahu membela rakyat dan memperbaiki negara, dan siapa pula yang tidak sudah-sudah berpolitik dan menimbulkan polemik atas agenda politik tersendiri.

Rakyat adalah hakim terbaik terhadap sesebuah kerajaan. Dan rakyat Malaysia telah bersuara. Mereka mahu pemimpin yang kompeten dan bersih seperti Tan Sri Muhyiddin yang agendanya hanyalah prihatin rakyat. Mereka tidak mahu pemimpin yang rasuah atau kleptokrat, atau yang kerjanya menuntut jawatan, tidak habis-habis membantah kerajaan dan yang hanya tahu “komplen” sahaja.

 

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN,
KETUA PENERANGAN BERSATU MALAYSIA

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *