KUALA LUMPUR 28 April – Setelah Kedah, diikuti Perak dan Selangor, kini Dialog Penerangan BERSATU meluaskan sayapnya ke Pulau Pinang yang bakal memperlihatkan lebih 150 peserta menyertainya.
Setiausaha Biro Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Hishamuddin Abdul Karim memberitahu, program dialog itu yang memasuki siri ke-4, akan diadakan di Seberang Jaya pada 1 Mei dan disertai ketua-ketua Penerangan bahagian, Srikandi, Armanda, selain ketua Badan Pimpinan Negeri dan ketua-ketua bahagian.
Menurutnya, jika program di Kedah, Perak dan Selangor turut dihadiri peserta dari negeri lain selain ahli Bersekutu, dialog di Pulau Pinang juga dijangka dihadiri peserta luar Pulau Pinang.
Jelasnya, kehadiran peserta luar Pulau Pinang adalah sebagai pemerhati selain bertujuan memperolehi maklumat tambahan.
Beliau berkata, jangkaan kehadiran peserta luar itu juga memandangkan parti Gerakan yang mempunyai kekuatan di Pulau Pinang, secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.
Hishamuddin berkata, setiap program dialog Penerangan yang kini memasuki siri ke-4 antara lain memberi fokus penyampaian terhadap agenda BERSATU terutama yang dibawa oleh Presiden parti yang juga Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Selain soal jawab antara Penerangan Pusat dan negeri, program ini akan mengutarakan fokus integriti, pembelaan dan penyelesaian masalah rakyat serta agenda semasa supaya ketua-ketua penerangan dapat uar-uarkan kepada rakyat dan ahli akar umbi.
“Kita mahu ketua-ketua penerangan memahami setiap agenda parti serta kepemimpinan Muhyiddin. Agenda-agenda ini perlu dibawa apabila berhadapan dengan rakyat dan juga parti pembangkang. Juga corak kepemimpinan Abah (Muhyiddin) yang menerajui parti dan negara, semuanya demi rakyat,” katanya.
Di samping itu kata Hishamuddin, Penerangan Pusat mahu ketua-ketua penerangan bahagian dan sayap menyertain program dialog ini kerana ia adalah program khas untuk mereka.
“Kehadiran mereka amat penting bukan sahaja bagi mendengar amat Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, malah dapat bertukar-tukar maklumat.
“Dialog ini juga dapat mengatur gerak kerja penerangan di bahagian dan sayap serta isu-isu yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Seperti dialog-dialog sebelum ini, program di Pulau Pinang turut melibatkan sesi soal jawab yang secara langsung dapat memberi penjelasan kepada ahli-ahli BERSATU mengenai hala tuju parti, isu semasa dan sebagainya.
Hishamuddin berkata, dalam program itu juga peserta akan diperkenalkan dengan laman sesawang serta aplikasi BERSATU.
“Selain itu, dari sesi program dialog sebelum ini, ada negeri yang telah menubuhkan Jabatan Penerangan mereka selaras dengan Jabatan Penerangan BERSATU Pusat. Ini satu perkembangan yang positif dan kita harap Pulau Pinang juga mengambil langkah yang sama.
“Malah, program di Pulau Pinang ini nanti akan dapat menjelaskan segala pertanyaan serta kekusutan ahli-ahli parti,” katanya.