Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan kelmarin menunjukkan bahawa kedudukan sebenar ekonomi negara bukan seperti yang selalu dihebohkan oleh pembangkang dan beberapa pembesar politik lain.
Data dan fakta yang disebut oleh Menteri Kewangan adalah jelas, tidak seperti gambaran palsu yang cuba dibuat oleh sesetengah pihak.
Saya menyedari bahawa ramai yang mengeluh mengenai kedudukan kewangan keluarga, masalah bazar Ramadan yang terpaksa dihentikan, serta harga daging mentah dan beberapa barangan keperluan yang melambung tinggi menjelang Aidilfitri.
Kerajaan telah mengambil langkah segera menangani semua isu-isu ini.
Tetapi secara makronya, data rasmi menunjukkan prestasi mengukuh KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara pada suku 1 2021 pastinya membawa berita lega kepada umum terutamanya pemain-pemain utama industri.
Ini adalah khabar yang paling baik dan sangat dinanti-nantikan. Kedudukan ekonomi yang mengukuh bersama penurunan kadar pengangguran adalah fakta utama mengukur kemakmuran dan tahap kesihatan negara.
Malangnya, ada pihak yang terus merungut dalam media sosial kerana mereka tahu budaya masyarakat kita yang hanya membaca berita sekilas pandang tanpa mendalami berita sebenar.
Mereka mengeksploitasi sikap rakyat kita yang gemar kepada berita-berita viral yang tidak benar.
Sedangkan, berita utama mengenai pengukuhan ekonomi dan peningkatan eksport tidak diberi perhatian. Nilai eksport meningkat sebanyak 31.0 peratus kepada RM104.9 billion manakala jumlah Perdagangan Negara melonjak 25.6 peratus kepada RM185.7 billion dengan lebihan dagangan untuk 11 bulan berturut-turut dengan nilai RM24.2 billion. Ini adalah berita amat positif yang melambangkan ekonomi negara kita ditadbir dengan cekap.
Satu contoh yang boleh saya berikan ialah ada pihak yang menimbulkan persepsi negatif apabila Tesla membuat pelaburan di Indonesia dan bukan di Malaysia.
Tetapi pelaburan tersebut berteraskan permintaan domestik Indonesia yang dua kali lebih tinggi daripada Malaysia pada tahap 1.5 juta kenderaan setahun. Bukan faktor kelemahan pentadbiran kita.
Hakikat sebenar ialah dari Januari 2020 hingga April 2021 pengaliran pelaburan asing mencecah RM91.8 billion di mana pada suku 1 2021, aliran tunai bersih adalah sebanyak RM9.1 billion.
Apa yang lebih penting ialah pelaburan asing di negara kita lebih berteraskan eksport yang sekaligus meningkatkan lebihan dagangan luar bersih, berbanding pelaburan untuk jualan tempatan.
Kesemua pelaburan luar adalah berkualiti tinggi yang akan mendorong pasaran eksport negara dan pada masa sama mencipta peluang pekerjaan baharu untuk tenaga separuh pengalaman dan berpengalaman.
Ternyata usaha kerajaan melalui Skim Permai sebanyak RM15 billion dan Pemerkasa sebanyak RM20 billion amatlah berkesan.
Kita juga harus faham bahawa pemulihan ekonomi negara memerlukan usaha sepakat seluruh rakyat dan tenaga kerja negara. Pertumbuhan ekonomi akan memacu penciptaan perkerjaan.
Melalui Permai dan Pemerkasa usaha kerajaan juga telah terbukti berjaya dengan penambahan bilangan pekerjaan sebanyak 96,900 pada Mac lalu. Pada masa sama Majlis Pekerjaan Negara (NEC) juga telah berjaya mewujudkan sejumlah 150,597 perkerjaan sehingga April tahun ini.
Kalau rakyat Malaysia sebulat bersatu, kita akan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.0 hingga 7.5 peratus tahun ini. Malah Asian Development Bank (ADB) menyasarkan Malaysia akan berkembang pada tahap 9.0 peratus tahun ini, tertinggi di antara semua negara Asean.
Semua ini sebenarnya berita terbaik menjelang Aidilfitri tahun ini. Walaupun kita berdepan dengan PKP 3.0, ekonomi negara terus mengukuh dengan pembukaan setiap sektor industri.
DATUK MOHAMED FARID ZAWAWI
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia merangkap Ahli Biro Penerangan BERSATU Malaysia