KUALA LUMPUR 24 Mei – Tindakan pihak-pihak yang mempamerkan kain rentang atau postar sambil menuduh kerajaan gagal, disifatkan sebagai perbuatan dan tuduhan yang hanya memalukan diri sendiri.
Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) merangkap Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, ini kerana kerajaan sejak awal lagi telah melakukan usaha-usaha bagi menangani pelbagai masalah rakyat termasuk ekonomi dan Covid-19.
Beliau berkata, kerajaan juga dilihat sentiasa komited dan serius dalam menangani masalah-masalah berbangkit dan keadaan yang melanda negara ini sekarang juga berlaku di kebanyakan negara di seluruh dunia.
“Sebagai rakyat Malaysia kita patut bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang tidak henti-henti memberi perhatian berterusan dan serius untuk menangani pelbagai masalah termasuk Covid-19.
“Kita juga sepatutnya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas segala usaha beliau yang berterusan menangani apa juga permasalahan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Roslan juga meminta rakyat agar mematuhi nasihat Perdana Menteri yang menggesa semua orang mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Nasihat Perdana Menteri itu kita semua perlulah dokong dan sama-sama laksanakan dalam mematuhi SOP bagi menangani pandemik Covid-19 ini.
“Rakyat juga harus ingat bahawa fenomena yang berlaku ini turut berlaku di seluruh dunia.
“Oleh itu, rakyat haruslah bersabar termasuk dalam menunggu penerimaan vaksin. Kerajaan telah usahakan untuk menempah vaksin yang akan diterima secara berperingkat-peringkat. Apabila kita mendapat vaksin itu barulah kita dapat tingkatkan imuniti kita,” katanya.