PUTRAJAYA 31 Mei – Pakej PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus yang diumum oleh Perdana Menteri merupakan satu langkah berani dalam menjamin kelangsungan kehidupan semua lapiran rakyat dalam negara ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi Biro Ekonomi Armada Malaysia, Ahmad Sobree Abas berkata, pakej itu juga membuktikan sokongan penuh barisan Kabinet kerajaan PN terhadap kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Menteri dan Timbalan Menteri tidak mengambil gaji selama 3 bulan mulai Jun 2021 untuk menyumbang dalam menangani Covid-19.
“Jumlah pakej RM40 bilion itu merangkumi semua lapisan rakyat.
“Ia turut melibatkan sektor perniagaan, pelancongan dan beberapa lagi sektor di samping memberi pelbagai penyelesaian seperti bil elektrik, moratorium dan banyak lagi.
“Turut menarik perhatian ialah kesepaduan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak mengambil 3 bulan gaji untuk disumbang dalam menangani Covid-19 dan ini secara langsung membuktikan bahawa barisan Kabinet menyakini kepemimpinan Muhyiddin,” katanya.
Malah katanya, Perdana Menteri turut memaklumkan kepada rakyat selain pakej berkenaan, masih terdapat pelbagai program pakej rangsangan bernilai lebih daripada RM100 bilion yang masih dalam pelaksanaan.
“Memang ini satu kejutan, malah langkah berani kerajaan dalam membela rakyat walaupun pelbagai tuduhan serta desakan politik dilemparkan sebelum ini.
“Armada melihat kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin terus fokus untuk membantu rakyat dari awal pandemik hinggalah kini,” katanya.
Menjawab pertanyaan, beliau berharap, kerajaan yang ada sekarang terus teguh bertahan kerana langkah yang diambil selama ini untuk membela rakyat adalah yang terbaik.
“Pakej ini bukan sahaja langkah berani, malah berjiwa rakyat,” katanya.