KUALA LUMPUR 2 Jun – Tiada keperluan untuk mana-mana pihak bermain politik dengan menggunakan isu pembukaan semula Parlimen atau tuntutan tempoh darurat ditamatkan segera, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr.Muhammad Faiz Na’aman
Sehubungan itu katanya, banyak elemen memecahbelahkan negara boleh wujud dan semua pihak termasuk ahli politik pembangkang perlu bersetuju bersama kerajaan untuk menangani musuh nombor satu negara ketika ini, iaitu ancaman pandemik Covid-19.
“Gesaan supaya kerajaan menetapkan kriteria khusus bagi menamatkan tempoh Proklamasi Darurat adalah tidak relevan.
“Ini kerana aspek pengurusan jangkitan pandemik Covid-19 bersifat fleksibel dan sukar dijangka.
“Belum ada jaminan pandemik itu tidak akan kembali meningkat sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘total lockdown’ kali ini berkesan,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sememangnya berdepan dilema dalam memastikan penularan Covid-19 dibendung sepenuhnya, lebih-lebih lagi dengan sikap segelintir rakyat dan pemimpin politik yang masih tidak patuh dengan SOP.
“Bagi saya, faktor utama penamatan darurat banyak bergantung kepada situasi semasa kes Covid-19 ditangani semua pihak dan bukan mengikut kehendak atau keperluan kerajaan,” katanya.
“Pada saat kritikal kini, apa yang diperlukan rakyat bukanlah satu bentuk kerajaan baharu.
“Rakyat lebih mendambakan keberkesanan jentera kerajaan menerusi agensi-agensi bertanggungjawab untuk memastikan aspek kesihatan dan ekonomi mereka dibela sepenuhnya,” katanya.