Enggan nyatakan pendirian, wakil rakyat PH kecewakan mandat rakyat – Gerakan

PULAU PINANG 2 Jun – Jika Ahli Parlimen PKR bagi Permatang Pauh, Nuruh Izzah menolak Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR), bagaimana pula pendirian wakil rakyat yang lain dari PKR Pulau Pinang?

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, adalah sesuatu yang menyedihkan jika terdapat wakil rakyat yang masih enggan menyatakan pendirian masing-masing mengenai PSR.

Jelasnya, pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas, rakyat telah memberi sokongan penuh kepada Pakatan Harapan (PH), membolehkan PH kekal mentadbir Pulau Pinang selama tiga penggal berturut-turut.

“Namun, mandat yang diberikan rakyat pada masa itu nampaknya sia-sia sahaja, kerana wakil rakyat yang mereka pilih hanya mendiamkan diri dalam projek yang menggugat kepentingan rakyat, khususnya PSR,” katanya.

Tong Keong mendakwa, wakil-wakil rakyat yang mendiamkan diri itu secara langsung bukan mengutamakan kepentingan rakyat, tetapi lebih mementingkan konsortium-konsortium yang terlibat dalam projek mega di Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan PH Negeri Pulau Pinang telah mengabaikan suara hati rakyat, berdegil untuk melaksanakan projek mega yang akan merosakkan ekosistem persekitaran secara kekal.

Menurutnya, isu PSR ini sering dibangkitkan, namun sehingga kini wakil-wakil rakyat PH, khususnya dari PKR tidak tampil menjelaskan pendirian atau pandangan mereka berhubung dengan projek mega berkenaan.

“Adakah mereka mempertahankan hak rakyat atau melindungi kepentingan pemaju?,” soal beliau.

“Saya ingin memberi tepukan kepada Nurul Izzah yang berani tampil ke hadapan menyatakan pendirian terhadap projek-projek PH Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa DAP jangan bersikap ego dan keras kepala lagi dalam isu ini, kerana tahap kemusnahan dari projek-projek itu terhadap alam sekitar tidak dapat ditanggung oleh 19 wakil rakyat DAP.

“Lebih-lebih lagi, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar telah jelas menyatakan bahawa projek PSR boleh mengakibatkan kemusnahan kekal kepada ekosistem laut.

“Kerajaan PH Pulau Pinang, jangan anda memandang ringan pendapat rakyat dan menganggap sokongan rakyat terhadap anda adalah satu kewajipan.

“Saya berharap para pengundi di bahagian selatan pulau di negeri Pulau Pinang bertegas dengan pendirian untuk tidak berkompromi dalam isu ini.

“Biar kita mengenali sikap sebenar DAP yang angkuh, bukan sahaja mengabaikan kewujudan parti komponen PH yang lain, tetapi juga tidak menghormati pandangan dan pendirian yang dibuat melalui petisyen bersama antara NGO dan 110,000 penduduk Pulau Pinang,” katanya.

Tong Keong menegaskan, Gerakan tetap bersama dengan NGO dan rakyat untuk mempertahankan kualiti hidup rakyat, khususnya semasa negara dilanda pandemik Covid-19.

“Kami tidak faham mengapa kerajaan PH Pulau Pinang terdesak untuk melaksanakan projek mega yang mampu memusnahkan alam sekitar itu?” katanya.

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *