PUTRAJAYA 7 Jun – Minyak masak bersubsidi di pasaran masih kekal dengan harga biasa, malah mencukupi serta tidak berlaku kenaikan dan sehubungan itu ia tidak menjadi isu kepada pembeli terutama golongan B40.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid menjelaskan, minyak masak yang diberi subsidi oleh kerajaan itu dibungkus dalam plastik dengan berat satu kilogram.
“Tidak jadi isu dan pembeli B40 masih boleh mendapatkan minyak masak bersubsidi di pasaran dengan harga biasa.
“Malah kerajaan tidak menyekat golongan bukan B40 untuk membeli minyak bersubsidi itu.
“Juga bekalan minyak masak bersubsidi itu sentiasa mencukupi dan tidak berlaku catuan atau kekurangan,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, pada masa sama pengusaha dan pekebun sawit kini gembira dan lega apabila harga komoditi minyak sawit di pasaran naik iaitu lebih RM800 bagi satu tan.
“Felda dan pengusaha sawit gembira apabila harga komoditi minyak sawit meningkat. Ini tidak jadi isu kepada pengusaha sawit.
“Walaupun harga komoditi minyak sawit meningkat, namun minyak masak dalam bungkusan satu kilogram itu tetap diberi subsidi oleh kerajaan dan dijual pada harga biasa.
“Dalam hal ini, kenaikan harga komoditi minyak sawit di pasaran tidak menjadi isu kepada pengusaha sawit kerana ia menguntungkan mereka dan pada masa sama harga minyak masak bersubsidi di pasaran tetap dijual pada harga sama dan ini juga tidak menjadi isu kepada pembeli.
“Kedua-dua pihak pengusaha sawit dan pembeli mendapat manfaat, malah kerajaan terus mengekalkan subsidi untuk minyak dalam bungkusan satu kilogram itu,’’ katanya.
Beliau berkata, disebabkan harga komoditi minyak sawit meningkat, harga minyak masa yang bukan diberi subsidi oleh kerajaan akan naik sedikit.
“Namun rakyat boleh pilih untuk membeli minyak masak bersubsidi dengan harga biasa,” katanya.
Rosol seterusnya meminta pengguna tidak mudah mendengar khabar angin mengenai kekurangan atau kenaikan harga minyak masak, sebaliknya mereka pelu mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa.