KUALA LUMPUR 10 Jun – “Jika Menteri dan Timbalan Menteri Perikatan Nasional (PN) potong gaji tiga bulan untuk disalurkan ke Akaun Amanah Bencana , diikuti lebih 800,000 kakitangan kerajaan, saya pun hendak juga berbuat demikian.
“Jika saya jadi wakil rakyat walaupun dari parti pembangkang, saya juga mahu elaun saya dipotong selama tiga bulan untuk bantu negara dan rakyat yang kini dilanda pandemik Covid-19.
“Rakyat sedang susah, lebih susah dari saya (wakil rakyat – angan-angan),” kata Pengerusi MERCY Malaysia (Melaka Chapter), Datuk Dr. Baba Md. Deni.
Menurutnya, jika dapat jadi wakil rakyat, tak rugi jika sebahagian gaji dipotong demi menyumbang kepada rakyat yang susah.
“Sebagai wakil rakyat, kehidupan masyarakat perlulah diutamakan sebab kedudukan saya (sebagai wakil rakyat) yang ada sekarang pun kerana dilantik dan dipilih oleh rakyat.
“Bayangkan kalau betul-betul saya jadi wakil rakyat, saya akan potong tiga bulan gaji untuk disalurkan ke Akaun Amanah Bencana.
“Kalau tak dapat jadi wakil rakyat, dapat angan-angan dan berniat sebegitu pun jadilah,” katanya tersenyum lebar.
Selain Menteri dan Timbalan Menteri PN, lebih 800,000 kakitangan awam dari Gred 29 ke atas turut memotong sebahagian imbulan tetap keraian mereka selama tiga bulan untuk disalurkan ke Akaun Amanah Bencana. Selain itu ada juga ADUN dan Ahli Parlimen yang berbuat demikian.
Membayangkan lebih lanjut angan-angannya itu, beliau berkata, sebagai wakil rakyat beliau akan pastikan rakyat sentiasa dibela, dapat makan, minum dan sebagainya.
“Kalau dapat lihat rakyat dapat dibela, dapat makan minum, sudah pasti sebagai wakil rakyat saya boleh tersenyum kerana rakyat adalah amanah yang perlu saya pikul.
“Setiap orang ada angan-angan, saya pula mahu bantu rakyat. Jangan pula angan-angan saya ini buatkan orang lain marah. Maaf ye,” katanya.
Tambahnya, jika semua wakil rakyat termasuk dari pembangkang bersama-sama kerajaan membantu rakyat, pasti segala permasalahan dapat diatasi walaupun ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Bantu-membantu, tolong-menolong, semua ini dapat menjadikan kehidupan masyarakat negara ini menjadi harmoni.
“Ketika sedang susah akibat pandemik ini eloklah kita selesaikan dulu masalah Covid-19. Ketepikan isu politik dan pilihan raya,” katanya.