MUAR 30 Jun – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menjayakan setiap inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi memastikan sektor agromakanan pulih segera dan rakyat terus mendapat bekalan makanan mencukupi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, bantuan bersasar di bawah pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri, akan terus membantu rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi dan semua bidang termasuk sektor agromakanan.
“Secara langsung ia dapat membantu golongan terkesan terutama mereka yang mengusahakan perusahaan kecil dan sederhana serta golongan B40 untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara.
“Malah, skim pembiayaan mikro kredit agrobank boleh digunakan untuk mendapatkan semula modal pusingan bagi memulakan kembali pernaigaan yang terjejas serta sebagai modal permulaan kepada usahawan baharu yang ingin menceburi bidang agromakanan ,’’ katanya.
Beliau berkata, inisiatif memperkasakan usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah program digitalisasi dan transformasi sektor pertanian adalah selaras dengan usaha kementerian yang akan memberikan penekanan lebih kepada penggunaan tekonologi sejajar dengan revolusi indstri 4.0.
Katanya, kempen ‘Shop Malaysia online’ dan ‘go-eCommerce on boarding’ dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro termasuk peniaga pasar tani untuk beralih kepada perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai, akan diteruskan dengan menggalakkan penyertaan pengusaha agromakanan ke platform dalam talian yang efektif bagi menembusi pasaran yang lebih luas.
Pengumuman PEMULIH bernilai RM150 bilion yang merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat selain meneruskan program pembiayaan mikro kredit dan tambahan dana sehingga RM1.1 bilion untuk terus menyokong perniagaan mikro.
Terdahulu Ronald menyampaikan 1,000 kotak makanan di bawah program prihatin menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia kepada penduduk yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.