Benarkan berjemaah di masjid dengan syarat ambil dua dos vaksin

TANAH MERAH — Kerajaan diminta mempertimbangkan kebenaran membuka kembali masjid dan surau kepada rakyat yang telah mendapatkan dua dos suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan  (PICK)  bagi melaksanakan solat berjemaah dan Jumaat.

 

Ketua Penerangan Bersatu Negeri Kelantan, Bahari Mohamad Nor berkata, langkah itu dapat memberi motivasi kepada masyarakat untuk  mendapatkan suntikan vaksin yang dilaksanakan pada masa ini.

 

“Pertimbangkan untuk membenarkan individu yang telah mendapatkan dos kedua vaksin untuk berjemaah di masjid terutamanya bagi  negeri-negeri yang menunjukkan penurunan  kes  harian.

 

“Ia bukan sahaja memberikan perkhabaran  gembira kepada masyarakat  muslim, malah turut membantu kerajaan mengalakkan rakyat mendapatkan suntikan vaksin bagi  mempercepatkan sasaran peratusan pihak kerajaan berkaitan PICK,” katanya.

 

Bahari berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan supaya rakyat tidak melakukan perbandingan terhadap keputusan-keputusan yang di umumkan bagi  membendung penularan Covid-19.

 

“Rakyat ketika ini mempertikaikan keputusan-keputusan kerajaan seperti pembukaan kilang dibenarkan operasi manakala masjid  tidak dibenarkan,” katanya.

 

Dalam masa sama beliau meminta  rakyat terus memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam usaha membendung  penularan  Covid-19  di negara ini.

 

“Masalah ini tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya kerjasama rakyat amat diperlu, patuhlah SOP, dan ambilah suntikan vaksin.

 

“Kita sama-sama berusaha untuk menyekat virus ini terus merebak dalam masyarakat dan akhir sekali kita dapat keluar daripada pandemik ini dengan secepat mungkin,” katanya.

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *