PUTRAJAYA, 15 Jul — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19.
Muhyiddin berkata langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.
Justeru, beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin.
“Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang mendapat dua suntikan vaksin supaya diberi kelonggaran.
“Ia sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran. Ini petanda untuk menunjukkan sementara kita menguruskan COVID-19, maka kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa lepas,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau persiapan program Bakul Prihatin Negara diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Khamis.