KUALA LUMPUR, 17 Julai — Koperasi dalam sektor pelancongan digalakkan menyertai Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu menjamin kelangsungan ekonomi koperasi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata inisiatif di bawah Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi itu adalah program pemulihan ekonomi koperasi melalui penerokaan peluang dan perubahan kepada perniagaan atau aktiviti ekonomi yang baharu.
“Objektif inisiatif ini adalah untuk membantu koperasi yang terjejas bagi meneroka peluang perniagaan baharu untuk menyedia dan mempertingkatkan sumber pendapatan selain menggalakkan koperasi mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan tidak tertumpu kepada satu sumber pendapatan.
“Kumpulan sasar adalah koperasi terjejas khususnya dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri seperti perhotelan, rumah inap, perkhidmatan teksi dan bas, ejen pelancongan dan lain-lain dengan geran bantuan RM100,000, dan peruntukan RM10 juta disediakan,” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada Sabtu.
Antara sektor baharu yang dicadangkan adalah seperti sektor pertanian, penternakan, perikanan, tanaman dan lain-lain.
Mas Ermieyati berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi menunjukkan tindak balas responsif dalam menjamin kelangsungan ekonomi sektor koperasi khasnya dan negara amnya.
Selain itu, menyedari banyak sektor perniagaan mula beralih kepada platform dalam talian, Program Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-DAPAT) turut diperkenalkan bagi memastikan koperasi mengadaptasi platform dalam talian bagi mengkomersilkan produk atau perkhidmatan sedia ada.
“Program ini dapat membantu koperasi membuat promosi pemasaran dan jualan produk atau perkhidmatan melalui platform dalam talian bagi premis jualan koperasi tidak dapat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Mas Ermieyati berkata perolehan perniagaan koperasi menurun RM4.34 bilion daripada RM45.79 bilion pada 2019 kepada RM41.45 bilion pada 2020 kesan akibat pandemik COVID-19.
Selain itu, sektor peruncitan koperasi boleh bertindak sebagai ejen untuk membantu menangani kos sara hidup anggota koperasi terutama golongan B40 dan M40 yang semakin meningkat dan terjejas.
“Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) yang diperkenalkan melalui Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai untuk berbelanja dan membeli barangan keperluan harian di kedai koperasi dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran tempatan,” katanya.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata sehingga 30 Jun lalu sebanyak 127 koperasi diluluskan permohonan moratorium PKP 3.0 bagi tempoh tiga bulan yang melibatkan jumlah sebanyak RM8.3 juta.
“Selain itu, MEDAC (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) turut memberikan tambahan moratorium selama tiga bulan menjadikan keseluruhan tempoh moratorium bagi koperasi kepada enam bulan,” katanya.