KUALA LUMPUR, 26 Julai — “Belum sampai satu jam parlimen bersidang, perangai sebenar ahli parlimen pembangkang dah terserlah.”
Itu reaksi Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika mengulas mengenai kekecohan yang berlaku pada Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini.
Wan Saiful berkata pembangkang tidak menunjukkan usaha membantu rakyat sebaliknya hanya mengganggu usaha kerajaan dengan hanya menjerit.
“Pembangkang seperti tak ada niat atau rancangan untuk bantu rakyat. Yang mereka tahu hanyalah menjerit menganggu usaha kerajaan bantu rakyat.
“Kita jangan lupa, dulu semasa PH pegang kerajaan, mereka potong atau hapuskan banyak bantuan. Bila rakyat minta, mereka kata kerajaan tak ada duit.
“Ingat lagi RM30 yang PH bagi? Masa kerajaan banyak duit, dia bagi RM30. Masa kewangan kerajaan terhad sekarang ni, agaknya berapa yang dia nak bagi? RM30 lagi? Lebih buruk, apabila kerajaan sekarang nak bentangkan dalam parlimen rancangan penuh untuk bantu rakyat, mereka cuba sedaya upaya untuk ganggu.
“Inilah sebenarnya wajah pembangkang. Hanya tahu menjerit dan meloncat macam kera dapat bunga. Daripada terloncat-loncat, lagi baik pembangkang kerjasama jaga rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tidak sampai sejam bersidang, sidang khas Dewan Rakyat hari ini panas dengan pertikaman lidah antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan wakil rakyat pembangkang.
Kekecohan itu bermula apabila wakil rakyat pembangkang meminta penjelasan daripada Azhar Azizan berhubung ketiadaan perbahasan, usul dan undian mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat pada sidang khas berkenaan.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata peluang sidang khas Parlimen ini wajar digunakan dengan sebaiknya untuk kebaikan rakyat.
Ini kerana, katanya, kerajaan sudahpun membuka ruang untuk pembangkang menyumbang cadangan dan idea malah kerajaan juga melantik pembangkang dalam jawatankuasa Majlis Pemulihan Negara (PPN).
“Alangkah baiknya kalau peluang sidang parlimen khas ini digunakan dengan baik untuk dengar pembentangan kerajaan dan kemudian bagi cadangan tambahan untuk kebaikan rakyat.
“Kerajaan sudah buka pintu untuk pembangkang menyumbang. Sidang parlimen dah dipanggil. Kerajaan juga setuju lantik pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara.
“Malahan peruntukan bantu rakyat pun kerajaan dah bagi kepada pembangkang. Kalau semua ini disambut dengan baik dan PH tunjuk kesediaan bekerjasama dengan kerajaan, manfaatnya untuk rakyat juga nanti.
“Masa untuk bersaing akan sampai nanti. Sekarang bukan masanya,” katanya.