KUALA LUMPUR, 27 Julai — Semua ahli Parlimen diseru mengenepikan ideologi politik masing-masing dan bersolidariti untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19.
Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata perkara utama yang harus difikirkan ketika ini adalah kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat, antaranya peningkatan jumlah pengangguran dalam kalangan B40 dan M40.
Beliau berkata bukan sahaja Malaysia, negara-negara lain di seluruh dunia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi, kebajikan yang lebih serius dan berhadapan malapetaka besar.
“Saya melihat persefahaman diantara kerajaan dan juga pihak pembangkang amatlah penting pada ketika ini. Bertujuan untuk bersatu demi kepentingan rakyat.
“Walau bagaimanapun, perkara sebaliknya telah berlaku dimana ahli parlimen pembangkang khususnya dari Parti DAP bangun dan terjerit-jerit ketika YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan ucapan dan mengajak semua bertafakur dan membacakan Al-fatihah untuk semua mangsa COVID-19.
“Perkara ini jelas menunjukkan sifat ketidakmatangan dan kebudak-budakan malahan tidak menghormati mangsa dan keluarga yang telah dijangkiti ataupun yang telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Semalam, ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin ingin memulakan ucapannya, ahli Parlimen pembangkang tidak menghiraukan permintaannya sebalik terus bangun meminta Peraturan Mesyuarat.
Malah Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun turut mengulangi permintaan Perdana Menteri itu supaya semua bertafakur dan membaca Al Fatihah.
Namun, kem pembangkang tetap dengan gaya mereka membuat bising meminta ‘point of order’.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata ahli parlimen khususnya, perlu segera menghentikan segala propaganda politik murahan dan fokus untuk memastikan bahawa kesejahteraan rakyat di kawasan masing-masing adalah terjaga.
“Tidak perlulah dibahas sama ada kerajaan ini sempurna ataupun tidak tetapi, apa yang pasti adalah kerajaan hari ini tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat,” katanya.