KUALA LUMPUR, 30 Julai — Ahli-ahli Parlimen pembangkang sepatutnya menumpukan fokus kepada usaha kerajaan menyelesaikan permasalahan rakyat dan isu COVID-19 yang melanda negara ketika Persiadangan Khas Dewan Rakyat berlangsung.
Memetik Wacana.my, Timbalan Pengerusi BERSATU Johor Senator Ir. Md Nasir Hashim berkata desakan pembangkang yang menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan wajar dilihat sebagai satu muslihat politik.
“Pembangkang tak perlu desak Muhyiddin letak jawatan tatkala negara sedang berusaha mengatasi pemulihan ekonomi dan vaksinasi COVID-19.
“Selesaikan dahulu masalah COVID-19, dan jika mereka nak berebut jawatan PM, tunggu PRU-15.
“Nampak sangat mereka (pembangkang) hanya bermain politik daripada mahu menyelesaikan masalah COVID-19,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Malah, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.
Mengulas lanjut, Md Nasir berkata BERSATU Johor berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui negara.